Mia, Suami Batal Majlis Resepsi Di KL

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mia Ahmad, terpaksa membatalkan majlis resepsi yang dirancang diadakan di ibu kota berikutan kepadatan jadual suami, Mohd Izham Tarmizi Roslan, yang juga penjaga gawang pasukan bola sepak JDT.

Majlis terbabit sepatutnya berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pada 22 Mac lalu, sejurus selepas majlis bertandang di negeri kelahiran suaminya, Terengganu.

Pelakon Hati Perempuan itu turut berkongsi ucapan panjang lebar di laman Instagram beliau, memohon maaf di atas pembatalan majlis terbabit.

“Memang sejak awal lagi, majlis berkenaan sudah dirancang untuk diadakan di Kuala Lumpur. Namun, berikutan jadual suami yang terlalu padat, hasrat itu terpaksa dibatalkan.

“Jujur saya katakan, jadualnya memang tersangat padat. Kami memang tidak boleh nak selitkan apa-apa lagi. Akhirnya, kami terpaksa mempertimbangkan juga perkara itu walaupun tentunya saya rasa sedih kerana ada teman rapat di ibu kota, termasuk rakan media, kru produksi dan pengarah, yang tidak sempat datang ke majlis kahwin saya sebelum ini.

“Saya harap mereka dapat memahami kesulitan ini,” katanya memohon pengertian.

Menurut Mia, 29, walaupun serba salah, beliau harus membuat keputusan sedemikian kerana enggan membebani sesiapa, terutama suami.

“Saya pun sudah berkahwin selama tiga bulan. Kalau hendak diadakan juga majlis yang tertunda ini, rasanya macam sudah basi,” katanya lagi.

Menerusi laman Instagramnya, Mia dan suami turut memohon maaf kepada pereka pelamin, RekaTemoor, pihak hotel dan pereka fesyen, Cosry serta Lynda Rahim, kerana terpaksa menghampakan mereka.

“Tak dapat juga nak jadi Elsa macam Frozen,” tulisnya yang baru diperkenalkan sebagai duta produk Audela Adore. Mia dan ahli sukan berusia 26 tahun itu bernikah pada 13 Januari lalu di Taiping Sentosa Villa.-harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.