Kakitangan Mahu Ambil Tindakan Mahkamah Terhadap Rayani Air

KUALA LUMPUR — Kakitangan Rayani Air tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah sekiranya isu gaji mereka yang tertunggak sejak Mac lalu tidak dijelaskan syarikat esok.

 

Seorang kakitangan syarikat penerbangan patuh syariah itu enggan dikenali berkata dalam laporan Utusan Malaysia, isu kelewatan bayaran gaji bukan kali pertama dan sudah melaporkan hal itu ke Pejabat Buruh.

 

“KIta sudah melaporkan hal ini kepada Jabatan Tenaga Kerja dan esok satu lagi perjumpaan akan kami lakukan. Jika tiada maklum balas daripada pihak Ravi, kami terpaksa membuat tindakan susulan untuk saman,” katanya kepada akhbar itu, merujuk kepada ketua pegawai eksekutif Ravi Alagendrran.

 

“Gaji bulan Mac yang sepatutnya masuk pada 28 Mac masih belum dapat dan ini bukan kali pertama mereka lambat membayar gaji kami.”

 

Beliau mendakwa, Ravi bersikap tidak profesional kerana enggan bersemuka dengan kakitangan, malah menyalahkan mereka atas masalah teknikal.

 

Beliau juga mendakwa memiliki bukti rakaman suara, video, serta perbualan pengasas syarikat itu dengan kakitangan di aplikasi pesanan ringkas WhatsApp yang menunjukkan beliau menyalahkan pekerja apabila berlaku masalah.

 

“Masalah berlaku apabila beliau yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini membuat peraturan sendiri dan banyak melanggar undang-undang penerbangan yang ditetapkan Jabatan Penerbangan Awam.

 

“Beliau menolak untuk mendengar nasihat kakitangan yang sudah lama dalam bidang penerbangan dan akhirnya banyak penerbangan terganggu,” katanya.

 

Rayani Air telah digantung perkhidmatannya oleh Jabatan Penerbangan Awam minggu ini, selepas mengalami pelbagai masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan cuma tiga bulan beroperasi. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.