Hadiah Lumba Basikal Terlalu Rendah, Netizens Kecam KBS

KUALA LUMPUR — Niat baik Kementerian Belia dan Sukan untuk memajukan sukan berbasikal mendapat kecaman ramai susulan hadiah dua daripada acaranya baru-baru ini terlalu rendah, antara RM10 hingga RM30.

 

Foto-foto acara penyampaian hadiah acara bawah 9 dan 11 tahun yang disempurnakan oleh Khairy Jamaluddin mendapat kritikan dan sindiran pengguna Internet (netizens), termasuk musuh politiknya Dr Afif Bahardin.

 

“Harga cetak replika cek ini agak-agak lagi mahal [atau] tidak daripada nilai hadiah?” kata exco kesihatan Pulau Pinang.

 

Dalam tweetnya hari ini, beliau sertakan sekeping foto yang menunjukkan menteri sukan mengangkat tangan pemenang kanak-kanak bersama hadiah RM30.

 

Khairy dilaporkan berkata program Junior Cycling Malaysia (JCM), yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN), bagi menggalakkan penyertaan orang ramai dalam sukan tersebut.

 

Dibentuk mengikut model Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan, JCM bertujuan membentuk bakat yang akan digilap lagi oleh MSN.

 

Dalam pusingan pertama acara tersebut di Serdang pada Sabtu lalu, menurut New Straits Times, kira-kira 700 penunggang bersaing dalam lima kategori dalam usia antara lima hingga 19 tahun.

 

Walau hasrat kementerian itu mulia, reaksi pengguna-pengguna Facebook berhubung foto tersebut rata-ratanya negatif. Berikut beberapa reaksi tersebut:

 

Ezreen Isa: “Kalau budak ini bagus, sudah tentu dia perlukan duit untuk pertingkatkan barang-barang basikal dia. Tapi nilai kemenangan yang dia dapat itu, hendak beli minyak kereta bapa dia pun silap-silap tidak penuh. Mungkin ini yang dikatakan wang tidak penting tapi suntikan semangat itu yang penting. Haha”

 

Amirul Daus: “Gila dapat RM30 saja? Seluar itu pun harga lebih RM100…. Hmmm lu ingat apa? Berbasikal pakai seluar pendek pasar malam ke, RM10 dapat tiga helai? Mahu melecet paha, beb.”

 

Bro SJ: “Nilai RM30 itu kecil sangat. Tayar basikal anak aku satu RM30. Belum masuk tiub. Kalau pun bajet [pertandingan] lari, berilah hamper. Atau, buku pun OK.”

 

Ann Rohman: “Kelakar sangat hadiahnya. Hahaha, zaman sekarang RM30 itu macam RM3 saja, tahu? Kalau hendak sangat beri RM30, gantilah dengan hamper besar sikit [saiznya] untuk dibawa balik. Malu jadi rakyat Malaysia.”

 

Duke Jeremy: “Inilah sebabnya Malaysia tidak banyak mencapai kemajuan dalam bidang sukan.”

 

Mat Epul: “RM30 hendak beli apa, woi? Nak beli kotak CD pun tidak dapat.”

 

Seorang pegawai di MSN memberitahu ProjekMMO hari ini bahawa perkara tersebut tidak wajar diperbesarkan kerana pelumba kanak-kanak hanya membuat dua pusingan selama kira-kira 10 minit.

 

“Ini perkara kecil saja. Perlumbaan ini untuk budak-budak. Ia tidak jadi isu, cuma perkara ini diuar-uarkan di Internet, Facebook dan sebagainya.

 

“Untuk budak-budak, ini mereka berlumba hanya dua pusingan, tidak sampai 10 minit pun perlumbaan itu. Kita hendak galakkan budak-budak ini berlumba dan itu sebabnya token kecil,” katanya.

 

“Objektifnya mencari bakat, bukan hadiah wang. Kita memang sengaja letak di peringkat rendah dahulu. Kita tengok berapa ramai datang dan minat.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.