Sabarlah Tun M, Tunggu Laporan Audit 1MDB Dulu – Ahli PAC

Isu syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan telah memberi gambaran serta persepsi yang sangat negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.

 

Manakala kebimbangan yang disuarakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diakui ada asasnya, kata ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

 

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta semua pihak, termasuk Dr Mahathir agar bertenang dan menunggu sehingga laporan audit terhadap syarikat itu oleh Ketua Audit Negara selesai.

 

“Saya sendiri sebagai ahli PAC sedang menunggu laporan daripada Ketua Audit Negara untuk kita melihat sejauh mana masalah 1MDB yang diperkatakan oleh semua orang termasuklah saya sendiri.

 

“Kita menghormati kebimbangan Tun Mahathir cuma kita minta masa kepada untuk kami ahli-ahli PAC melihat dan kita berjanji kepada rakyat bahawa PAC akan cukup telus dalam kita melihat permasalahan 1MDB ini kerana ia memberi persepsi yang cukup negatif kepada kerajaan, kredibiliti Najib sebagai PM.

 

“Kredibiliti itu yang cukup penting kerana apabila rakyat sudah hilang kepercayaan, tidak mungkin keputusan atau polisi-polisi yang baik dapat kita bawa kepada rakyat,” katanya kepada The Rakyat Post.

 

Menurut Aziz, dalam soal 1MDB ini, tidak timbul soal untuk mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri.

 

Jelasnya, Najib sendiri yang mengarahkan 1MDB disiasat dan diaudit selain berulang kali menegaskan akan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan jika terbukti ada penyelewengan.

 

“Tun Mahathir cukup yakin terdapat penyelewengan dalam 1MDB tetapi dalam masa yang sama Najib berani melantik Ketua Audit Negara, (dan) bawa (laporan) kepada PAC yang (ahlinya) diwakili pembangkang dan Barisan Nasional.

 

“Saya akan menjadi orang pertama kedepan sekiranya ada penyelewengan yang berlaku sebab kita ahli Parlimen kita sayang negara dan rakyat tetapi pada masa yang sama tidak adil awal-awal untuk kita menyalahkan kepimpinan Najib tanpa bukti yang sah,” tegas Aziz.

 

Beliau yakin jika cerita sebenarnya tentang keadaan 1MDB sudah diketahui, kebimbangan rakyat dapat diselesaikan.

 

“Saya lebih merasakan sebagai ahli Parlimen yang bertanggungjawab, saya hendak melihat isu yang diperkatakan oleh Tun Mahathir dan kalau isu itu dapat kita rungkaikan dan rakyat dapat melihat keadaan sebenarnya, kepercayaan rakyat kepada Najib tidak akan berubah dan tidak ada sebab Najib untuk letak jawatan,” ujarnya.

 

Mengulas lanjut kritikkan Tun Mahathir ini akan menjatuhkan Najib seperti mana yang berlaku pada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, Aziz mengatakan senarionya berbeza.

 

“Ketika zaman Pak Lah dulu senarionya berbeza di mana Pak Lah dilihat tidak mampu untuk memimpin kerana dia dikelilingi pemimpin dan pegawai yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

 

“Najib pada hari ini dikaitkan dengan skandal 1MDB, skopnya berbeza. Soalnya hari ini bagaimana kita boleh rungkaikan 1MDB.

 

“Akhirnya tidak ada penyelewengan, tidak ada masalah, saya percaya Najib harus kekal tetapi sekiranya sebaliknya, dan itu hak kita semua pemimpin UMNO untuk melihat semula,” ujarnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.