Kanak-Kanak 9 Tahun Jadi Hamba Seks Militan IS

KANAK-kanak perempuan berusia sembilan tahun hamil selepas dirogol anggota kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di utara Iraq untuk memuaskan nafsu mereka.

 

Kanak-kanak tersebut dibebaskan selepas hampir setahun dipenjarakan di mana wanita dan gadis muda kaum minoriti Yazidi, dijadikan sebagai hamba seks.

 

Awal minggu ini, lebih 200 wanita kaum Yazidi, kanak-kanak dan warga tua dibebaskan dekat Kirkuk, utara Iraq setelah dilarikan oleh kumpulan militan ISIS pada Jun tahun lalu.

 

Seramai 40,000 orang telah diculik semasa anggota militan ISIS menyerang perkampungan kaum minoriti itu pada musim panas lalu.

 

Ratusan penduduk selamat kembali ke kampung halaman sama ada dengan melarikan diri atau dibebaskan oleh kumpulan militan ISIS.

 

Dan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu antara salah seorang yang pulang ke perkampungan tersebut.

 

Menurut pekerja bantuan warga Kanada Yousif Daoud, kanak-kanak itu menjadi mangsa serangan seksual tidak lebih 10 lelaki semasa dalam tahanan kumpulan tersebut.

 

“Kebanyakan mereka terdiri daripada pejuang barisan hadapan atau pengebom berani mati yang akan dihadiahkan wanita sebagai ganjaran.

 

“Kanak-kanak ini terlalu muda dan boleh berhadapan maut sekiranya melahirkan bayi. Malah proses pembedahan juga amat berbahaya. Serangan seksual itu menyebabkan dia berada dalam keadaan trauma,” kata Yousif kepada Toronto Star.

 

Kanak-kanak perempuan itu dibawa ke Jerman oleh petugas amal Kurdish awal minggu ini untuk menerima rawatan perubatan.

 

Pendedahan itu dilakukan selepas pembebasan 216 tahanan kaum Yazidi yang ditangkap sejak musim panas tahun lalu semasa kumpulan militan ISIS menyerang perkampungan di wilayah Sinjar, barat laut Iraq.

 

Mangsa tahanan yang dibebaskan berkata pada mulanya mereka menyangka akan dibawa ke suatu tempat untuk menerima hukuman.

 

Namun, sebaliknya mereka dimasukkan ke dalam bas mini dan dibawa ke Peshmerga.

 

Mangsa yang dibebaskan terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga tua itu dilaporkan kurang sihat dan menunjukkan tanda-tanda didera dan diabaikan. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.