Ekonomi Malaysia Diunjur Tumbuh 4.7 Peratus Tahun Ini

SINGAPURA – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka memperlahan kepada 4.7 peratus bagi 2015 sebelum kembali normal kepada lima peratus pada 2016, manakala kedudukan akaun semasa kekal dalam lebihan kecil.

 

Dalam Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Dikemas Kini yang dikeluarkan hari ini, Bank Dunia berkata, kejatuhan harga minyak akan melembabkan pertumbuhan disebabkan penangguhan perbelanjaan modal dalam sektor minyak dan gas, pemacu utama dalam ledakan pelaburan baru-baru ini.

 

“Penggunaan swasta akan menyederhana disebabkan langkah-langkah kredit lebih ketat dan kesan kecil daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan sebelum melantun semula pada 2016.

 

“Inflasi dijangka naik sedikit sekalipun mencatatkan bacaan rendah untuk separuh pertama memandangkan kejatuhan harga minyak dicerminkan seluruh ekonomi,” katanya.

 

Bank Dunia berkata, kedudukan akaun semasa dijangka menguncup walaupun ada kemungkinan meningkat jika pertumbuhan eksport pembuatan mengekalkan momentum suku keempat.

 

Ia berkata, penyusutan seterusnya dalam harga minyak merupakan risiko utama bagi pertumbuhan jangka terdekat, fiskal dan akaun luaran.

 

Risiko lain termasuk kelemahan ekonomi global yang akan melembabkan permintan eksport, membawa ketidaktentuan baharu aliran modal dan merealisasikan liabiliti luar jangka yang meningkat sejak krisis kewangan global, katanya.

 

Bank Dunia berkata prospek ekonomi yang menggalakkan akan menyokong pendapatan isi rumah keseluruhan.

 

Bank itu juga berkata ekonomi Malaysia mengembang enam peratus pada 2014 manakala kadar kemiskinan terus berkurang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.