DAP Anggap Mereka ‘Tuan’ Dalam Pakatan Rakyat

SHAH ALAM – DAP menganggap mereka adalah ‘tuan’ dalam Pakatan Rakyat dan menuntut PAS agar mengikut acuan yang ditetapkan mereka, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman.

 

Abdullah berkata dakwaannya itu merujuk kepada sikap PAS yang terpaksa ‘meringankan’ sedikit demi sedikit perjuangan Islam yang didokong mereka semata-mata mahu bergerak seiring dengan DAP dan PKR.

 

“Mereka secara sedikit-sedikit menuntut PAS untuk meninggalkan hudud, menangguh pelaksanaan syariah kemudian mengubah konsep negara Islam kepada negara berkebajikan.

 

“Malah banyak dasar-dasar PAS bercanggah dengan DAP dan PKR, maka PAS pula kena bermuhasabah dan dikritik untuk memperbetulkan perjuangan. DAP menganggap mereka tuan dan PAS kena betulkan perjuangan mereka,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos baru-baru ini.

 

Sebaik sahaja menyertai Pakatan Rakyat, PAS memenangi banyak kerusi pada dua pilihan raya umum (2008 dan 2013).

 

Namun parti itu terus dihimpit krisis jati diri apabila terpaksa berlembut dalam banyak isu demi  mencapai kata sepakat dengan DAP dan PKR.

 

PAS juga sering beralasan setiap keputusan yang diambilnya adalah  selari dengan konsep ‘tahaluf siyasi’ dalam Pakatan Rakyat.

 

Abdullah berkata, dalam banyak isu, PAS sepatutnya tidak berselindung di sebalik konsep itu dan perlu bersikap lebih jujur.

 

“Dari awal kita tidak akan mengakui masalah itu, contohnya isu tahaluf siyasi. Pemahaman golongan ulama dalam PAS tentang tahaluf siyasi adalah dengan pemahaman Islam yang sebenar mengikut feqah dengan syariat dan rukunnya.

 

“Namun golongan bukan ulama memahamkan (tahaluf siyasi) dengan cara lain dan mengaplikasinya dengan cara lain. Mereka faham dalam bentuk satu parti dan satu gagasan yang mana PAS menjadi satu juzuk dengan dasar-dasar PR sehingga ia dimuhasabah kerana tidak selari dengan dasar parti-parti lain,” ujarnya.

 

Selepas beralah dalam banyak perkara, PAS kini mula bertegas dengan DAP dan PKR, terutamanya isu hudud.

 

PAS enggan lagi bertolak ansur dengan tuntutan DAP dan PKR sehingga menyaksikan hubungan antara tiga perti itu kini tegang.

 

Malah DAP secara terbuka mengumumkan mahu memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi masih komited dengan PAS.

 

Malah DAP berkali-kali menggesa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat jika parti itu tetap mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

 

PAS pula bertegas hudud adalah perjuangan mereka sejak sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.