70 Anggota Tentera Dikesan Terlibat IS

KUALA LUMPUR – Kira-kira 70 anggota tentera dikesan terbabit dalam kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS), dedah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

 

Beliau berkata, jumlah itu berdasarkan pengesahan pihak polis.

 

“Pihak tentera sedang memantau situasi ini hasil maklumat bahagian siasatan dan risikan serta kerjasama pihak sumber manusia.

 

“Jika pegawai tentera didapati memiliki ciri-ciri kumpulan IS, pihak polis dan tentera akan bekerjasama untuk memastikan mereka mengikuti kaunseling dan memulihkan akidah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, Isnin.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Jamilah Sulaiman yang bertanyakan langkah kementerian untuk memastikan anggota tentera tidak terlibat dalam kegiatan kumpulan militan IS.

 

Terdahulu ketika menjawab soalan lain yang dikemukakan Jamilah, Abdul Rahim berkata, tidak ada individu yang menyertai pasukan tentera menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.

 

“Setiap pengambilan perlu melalui proses pemilihan yang ketat sebelum diterima sebagai anggota tentera.

 

“Pihak tentera juga akan memeriksa rekod jenayah setiap pemohon untuk memastikan mereka bebas daripada sebarang perlakuan jenayah lampau dan warga Malaysia yang sah,” katanya.

 

Abdul Rahim menambah, pihak tentera juga bekerjasama rapat dengan polis dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk melakukan proses pemilihan anggota tentera. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.