Syamsul Teruja Kesudian Maya

Bukan sengaja mencetuskan isu, tetapi bagi pengarah terkenal Syamsul Yusof, pemilihan Maya Karin sebagi pelakon utama filem Munafik 2 dibuat bagi memenuhi tuntutan skrip.

Ditemui pada pelancaran filem ini di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini, Syamsul, 33, mengakui sudah lama teringin bekerjasama dengan pelakon yang pernah dua kali meraih kemenangan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM).
Menurut Syamsul, watak Maria lakonan Nabila Huda sudah dimatikan dalam Munafik dan kali ini giliran Maya pula tampil melakonkan watak utama sebagai Sakinah menerusi Munafik 2.

“Saya teruja kerana Maya sudi berlakon dalam Munafik 2 walaupun baru saja ditawarkan peluang ini,” katanya.

Jika Munafik menelan kos RM2 juta, Munafik 2 pula mencecah kos RM2.5 juta.

Ini dibuat bagi menjadikan ia sebuah filem yang lebih mantap berbanding Munafik.

“Filem ini diterima penonton bukan saja di Malaysia tetapi juga di Indonesia dan Brunei. Jadi saya nak yakinkan mereka kali ini dengan pemilihan lokasi yang lebih menarik.

“Kos pemasaran juga lebih besar bagi memastikan ia lebih berjaya. Kami boleh buat filem ini dengan kos RM2 juta, tapi niat kali ini untuk buat yang terbaik,” katanya.

Syamsul berkata, proses mencari idea untuk Munafik 2 sememangnya sukar berbanding menyediakan skrip yang memakan masa hanya sebulan.

“Rasanya sejak tahun lalu lagi saya sudah mencari idea. Dalam sesebuah filem, kekuatannya kadang-kadang terletak di pertengahan atau penamat dan inilah yang saya cari.

“Alhamdulillah ilham itu datang ketika saya nak tidur kerana susah nak tidur selagi tak dapat apa yang diinginkan. Saya terus tulis dan dapat apa yang dikehendaki,” katanya.

Syamsul tidak menafikan agak cerewet menulis skrip dan ini adalah draf ketiga yang ditulisnya.

“Pada awalnya saya masih nak kekalkan Pekin dan Sabrina Ali tapi apabila buat, ceritanya kurang menarik dan susah nak berkembang.

“Sampai sekarang pun masih rombak skrip kerana waktu tulis skrip saya belum pasti Maya setuju nak berlakon atau tak,” katanya.

Selain Maya, filem ini turut menampilkan Datuk Rahim Razali, Nasir Bilal Khan, Mawi, Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz dan Ku Faridah.

Penggambaran dijangka memakan masa selama 50 hari dan akan bermula pada 20 Mac ini.

‘Saya okey dengan Nabila’

Walaupun watak Maria sudah dimatikan, Nabila masih diperlukan bagi membawakan watak itu untuk babak imbas kembali.

Sehubungan itu, Syamsul mengharapkan pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 28 menerusi filem Munafik itu bersedia menerima tawarannya.

“Sebenarnya saya tiada isu dengan Nabila. Maria hanya akan tampil dalam babak imbas kembali dan saya perlukan Nabila untuk penggambaran selama sehari. Saya belum bercakap dengan Nabila dan diharapkan dia setuju berlakon. Saya okey dengan dia,” katanya.

Menurut Syamsul, kekuatan filem terletak pada skrip dan pengarahan. Namun, pelakon turut memainkan peranan penting bagi memantapkan cerita.

“Sebelum ini, saya ambil Nabila dan Pekin kerana kedua-duanya bagus. Saya sendiri pun tak sangka Nabila boleh buat watak begitu,” katanya.

Maya pula sudah kerap berlakon filem seram dan ini menuntut Syamsul mencorakkan lakonannya supaya nampak berbeza.

“Saya perlu ubah agar orang nampak watak Sakinah yang dilakonkan.

Mahu sunting Luna Maya

Syamsul juga tidak berahsia apabila membayangkan untuk mengambil pelakon popular Indonesia iaitu Luna Maya dalam Munafik 2.

“Sebenarnya kami nak cuba dapatkan Dian Sastrowardoyo tapi difahamkan dia tak nak berlakon lagi. Kami juga pernah cuba dapatkan Syahrini tapi dia juga menolak.

“Nampaknya mereka kurang berminat berlakon dengan produksi kita kerana semua sudah hidup mewah. Mungkin mereka tolak kerana wataknya hanya ‘cameo’ dalam lima babak sahaja,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.