Subsidi Rumah Untuk Orang Miskin Diteruskan

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan terus memberi subsidi kepada golongan rakyat miskin di negeri ini dalam aspek pemilikan rumah agar mereka juga mampu tinggal di kediaman yang selesa dengan harga berpatutan.

 

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan berbincang untuk memberikan subsidi kepada golongan miskin itu dengan jumlah yang sesuai.

 

“Kita belum menetapkan berapakah jumlah subsidi yang akan diberi, namun memberi jaminan ia tidak melebihi RM100 setiap bulan untuk bayaran ansuran selama 30 tahun.

 

“Jika pemilik tidak mampu meneruskan bayaran, mungkin anak atau waris terdekat pula akan mengambil alih tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian kunci rumah mampu milik kepada 128 penerima di Kampung Batin di sini petang ini.

 

Ia adalah sebahagian daripada program sempena penganjuran Karnival Transformasi Terengganu Baharu selama tiga hari yang bermula semalam.

 

Pada majlis sama, sebanyak 648 keluarga iaitu kumpulan terakhir yang menjadi mangsa banjir pada tahun lalu menerima wang tunai RM1,000 iaitu RM500 dari Majlis Keselamatan Negara dan RM500 lagi sumbangan ihsan kerajaan negeri.

 

Sementara itu, pemilik rumah di Kampung Batin melahirkan rasa syukur dengan usaha kerajaan negeri memberikan subsidi untuk membeli rumah itu dengan harga RM68,000 setiap unit.

 

Seorang warga kelainan upaya, Rohmat Nor Yahya, 52, berkata beliau gembira impiannya memiliki rumah sendiri tercapai setelah lama menumpang di rumah abangnya sebelum ini.

 

“Pengumuman subsidi tadi cukup melegakan kami kerana dapat meringankan beban kewangan dan inilah yang rakyat mahukan iaitu kerajaan yang prihatin terhadap golongan yang susah,” katanya.

 

Bagi Noraida Ngah, 43, beliau begitu gembira kerana bakal menyambut Ramadan di rumah sendiri berbanding sebelum ini menumpang di rumah abangnya.

 

“Kalau nak tunggu duit cukup memang tak tahu bila nak dapat rumah sendiri, dengan adanya subsidi ni memang kakak puas hati dan berterima kasih banyak kepada kerajaan,” katanya. – Bernama/Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.