Selangor Boleh Hilang Hak Ambil Alih Ekuiti – Khalid Ibrahim

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan kebimbangan sekiranya Perjanjian Utama penyusunan semula industri air Selangor antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat yang termetrai pada tahun lalu itu dibatalkan.

 

Menurutnya, kegagalan meneruskan perjanjian itu akan membawa banyak kesan termasuk risiko kehilangan peluang Selangor untuk mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air.

 

“Bagi pihak rakyat Selangor, saya menyeru Persekutuan dan Selangor untuk menyelesaikan sebarang pertikaian untuk pastikan Perjanjian Utama (HOA) penyusunan semula industri air Negeri Selangor yang telah ditandatangani pada tahun lalu dapat diteruskan.

 

“Saya percaya bahawa isu pemilikan tanah yang kononnya dinyatakan sebagai alasan untuk Selangor membatalkan perjanjian air itu boleh diselesaikan jika semua pertikaian itu dibawa ke meja rundingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perjanjian Utama yang ditandatangani dengan kerajaan Persekutuan 12 September lalu itu telah dipersetujui dengan kos RM 7.45 bilion lebih murah berbanding RM9.65 billion yang ditawarkan Selangor.

 

Sebagai antara individu yang berusaha merealisasikan pengambilalihan industri air di Selangor ketika pemerintahannya, Abdul Khalid berpandangan negeri ini akan mengalami kerugian besar jika tidak meneruskan perjanjian tersebut.

 

“Tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air, Selangor kemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu air setiap bulan yang telah dilaksanakan sejak Jun 2008 kerana kekurangan dana.

 

“Selain itu, peluang ini juga akan membolehkan syarikat konsesi menaikkan tarif air sebanyak 52 peratus (%) pada 2015 seperti yang dibenarkan mengikut Perjanjian Penswastaan. Malah lebih buruk lagi, Selangor perlu membayar tunggakan kenaikan tarif sebanyak RM2 bilion kepada syarikat konsesi.

 

“Ini jelas menunjukkan Selangor akan mengalami kerugian besar sekiranya tidak meneruskan rundingan dengan Persekutuan dan saya amat berharap kepimpinan kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan yang akan dilakukan selepas ini,” katanya.

 

Isnin lalu, Selangor membatalkan perjanjian penstrukturan air Selangor dengan Persekutuan selepas Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat kerana Persekutuan melanggar terma perjanjian pada September tahun lalu.

 

Namun, semalam Azmin dilaporkan telah meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu menyelesaikan kemelut penstrukturan semula bekalan air di negeri ini.

 

Mengulas pertemuan itu, Mohamed Azmin berkata, beliau telah memaklumkan kepada Najib mengenai kesediaannya menemui Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha), Datuk Seri Maximus Ongkili bagi menyelesaikan kemelut itu.

 

“Saya pasti itu adalah jalan terakhir, saya yakin kami boleh duduk dan berbincang. Saya sudah suarakan kebimbangan bagi pihak kerajaan Selangor kepada  perdana menteri. Saya jumpa beliau (Najib) pagi tadi di mesyuarat Majlis Raja-raja.

 

“Jadi, perdana menteri memberi jaminan kepada saya bahawa beliau akan berbincang dengan Menteri Kettha (Ongkili) dan saya berharap kementerian dan kerajaan negeri dapat duduk semula minggu hadapan untuk memuktamadkan (perjanjian penstrukturan semula bekalan air),” katanya kepada pemberita di bangunan  Parlimen di sini, hari ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.