Sedih Ceramah Jadi Sumber Pendapatan

ALOR SETAR – Adalah menyedihkan jika ada pihak menganggap ceramah agama sebagai sumber mengumpul kekayaan, iaitu bagi memperoleh pendapatan.

 

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ini menyebabkan penceramah itu mencetuskan apa yang dirasakan boleh menghasilkan duit, sehingga sanggup mengorbankan ilmu dan fakta hanya kerana harta.

 

“Kebanyakan hanya pentingkan orang ramai hadir, lalu mereka cipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberi harapan. Malah ada yang melakukan itu demi memperoleh habuan dan faedah daripada pendengar,” katanya.

 

Menurutnya, memetik kata-kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib: kebanyakan bala datang daripada mereka ini. Mereka berdusta kepada Nabi SAW dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, mereka memperoleh telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian.

 

Mohd Asri berkata, inilah hakikat yang berlaku hingga hari ini, di mana terdapat penceramah tidak meneliti kedudukan fakta yang dikemukakan.

 

Beliau berkata, amat malang jika modal sesetengah penceramah agama ialah maklumat yang dikutip daripada apa sahaja bahan yang sampai kepadanya.

 

“Mereka tidak mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan menapis fakta. Semua yang dibaca dianggap benar dan disampaikan,” katanya.

 

Tidak terkecuali, katanya, penceramah yang menjadikan masjid sebagai platform mengiklankan produk, yang disokong dalil yang kebanyakannya tidak benar.

 

“Masyarakat mudah terpedaya, akhirnya masjid jadi pusat iklan barangan untuk kepentingan pihak tertentu.

 

“Malangnya siapa sahaja dinobatkan sebagai ustaz, kita mudah percaya. Apakah dianggap pengkaji Islam jika sekadar mencetuskan beberapa lawak jenaka atau beberapa petua suami-isteri!,” katanya.

 

Mohd Asri berkata, sepatutnya majlis-majlis nasihat mestilah berteraskan ilmu yang tulen, ayat al-Quran dan hadis yang dihuraikan mestilah memenuhi disiplin keilmuan yang digariskan sarjana Islam.

 

“Bukan semua penceramah begitu. Ramai juga penceramah berhati-hati dalam penyampaian maklumat dan hadis-hadis. Namun lebih ramai penceramah hanya memikirkan apa yang disukai pendengar,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.