‘Saya Terpaksa Masak Dalam Hujan’

SUNGAI BESAR – Seorang ibu tunggal hidup serba kekurangan merayu mana-mana pihak dapat menyalurkan bantuan bagi membaik pulih atap bumbung dapur rumahnya di Kampung Sungai Nibong, di sini, yang bocor sejak lebih tiga tahun lalu.

 

Paridaf Zainal Abidin, 50, berkata, keadaan bumbung zink rumahnya itu sudah lama rosak, malah setiap kali hujan, rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dihuninya sejak 1992 itu pasti digenangi air.

 

“Saya rasa sedih sebab terpaksa masak dalam hujan disebabkan bumbung bocor, tapi nak buat macam mana, saya tak mampu gantikan bumbung baru,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Paridaf berkata, kehidupannya sulit kerana tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak sejak suaminya, Nordin Ahmad meninggal dunia sejak 11 tahun lalu.

 

Jelasnya, akibat kesempitan hidup yang dihadapi, dia terpaksa mengharap belas ihsan tiga anak lelakinya yang juga tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung segala perbelanjaan barangan dapur.

 

“Kadang-kadang dua atau tiga bulan baru anak bagi RM50 atau RM100, cukuplah untuk menampung barangan dapur, tapi kalau nak ganti atap bumbung rumah, memang tak mampu,” katanya.

 

Menurut Paridaf, dia juga menjaga seorang bapa saudaranya, Mohamed Nor Jami Khan, 65, yang hidup bersendirian kerana tidak berkahwin selain menghidap jantung tersumbat sejak sekian lama.

 

“Bapa saudara tinggal dengan saya sejak 30 tahun lalu. Dia pula menderita pelbagai penyakit, jadi saya lah yang menguruskannya,” katanya.

 

Paridaf memberitahu, dia menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) hanya pada Aidilfitri sekali dalam setahun, namun tidak menerima bantuan bulanan sepertimana dinikmati ibu tunggal lain.

 

“Saya amat berharap LZS membantu meringankan beban yang dihadapi, kalau tak dapat beri bantuan bulanan pun tak apa, asalkan mereka dapat bantu keluarkan saya dari kepompong kemiskinan,” katanya.

 

Katanya, dia memang ingin mencari pekerjaan, namun disebabkan tiada kenderaan, hasrat untuk mengubah nasib keluarganya itu terbantut selain peluang pekerjaan terhad di kawasan itu.

 

“Kalau nak kerja kedai makan memang saya tak larat, sebab kalau balik dari kerja saya terpaksa urus rumah. Saya tak ada anak perempuan nak tolong masak dan mengemas rumah, kalau ada mungkin boleh bantu,” katanya.

 

Katanya, dia juga pernah berniaga pakaian terpakai di pasar malam, namun disebabkan masalah kenderaan, perniagaan yang cuba diusahakannya itu terbantut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.