Remaja Minum Racun Akibat Tertekan, Trauma

Port Dickson – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikejarkan ke hospital apabila mengalami muntah-muntah selepas dipercayai sengaja minum kopi yang dicampur racun, petang kelmarin.

 

Difahamkan, remaja berkenaan, G Thiyaggurudeen tinggal berseorangan di rumahnya di Kampung Sendayan sebelum bertindak minum racun dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang.

 

Bapanya, S Ganesan, 52, berkata, kejadian hanya diketahuinya ketika berada di Rantau selepas dihubungi salah seorang anak berusia sembilan tahun pada jam 2.20 petang lalu bergegas pulang ke rumah.

 

“Selepas muntah dan matanya merah, Thiyaggurudeen mengaku kepada adiknya bahawa dia minum racun yang dicampur dengan kopi.

 

“Thiyaggurudeen dipercayai minum racun ketika abangnya keluar rumah untuk mengambil adik di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

 

Ganesan berkata, terdapat racun rumput yang disimpan di belakang rumah, bagaimanapun dia tidak pasti racun apa yang diminum anaknya itu.

 

“Saya juga dimaklumkan pagi semalam (kelmarin) Thiyaggurudeen asyik duduk di luar rumah dan tidak mengendahkan teguran abangnya yang meminta supaya masuk ke dalam rumah.

 

“Kira-kira jam 1 petang, abangnya keluar untuk mengambil adiknya di sekolah namun sempat memaksa Thiyaggurudeen makan dan melihat dia seperti kurang berselera,” katanya

 

Menurutnya, Thiyaggurudeen kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut sebelum sudah boleh bercakap kira-kira jam 7 malam.

 

“Keadaannya memang lemah namun sudah boleh bercakap serta menjawab beberapa soalan malah selain itu turut mengaku dia tertekan dan trauma,” katanya.

 

Ganesan berkata, anaknya sudah hampir sebulan tidak ke sekolah atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

 

“Dia menjadi pendiam, murung dan selalu bersendirian sejak tidak lagi bersekolah, sedangkan dulu dia seorang anak yang aktif .

 

“Saya tak menyangka dia akan bertindak begini sampai begini sekali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.