Perak Mula Tindakan Haramkan IS

IPOH – Negeri Perak memulakan tindakan untuk mewartakan fatwa bagi mengharamkan kumpulan militan Islamic State (IS) yang dilihat bertentangan dengan ­ajaran Islam­.

 

Mufti­nya, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, fatwa tersebut telah dibuat pada 23 Februari lalu selepas persidangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Maj­lis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 pada 21 hingga 22 Oktober lalu berkaitan isu umat Islam Malaysia yang berjuang atas nama Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

 

Bagaimanapun, ia masih belum diwartakan kepada umum selagi tidak mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

 

“Fatwa sudah dibuat, tetapi belum digazetkan. Ia perlu dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk mendapatkan persetujuan baginda. Apabila sudah mendapat perkenan, ia akan dihantar pula kepada Penasihat Undang-undang untuk diteliti setiap perkataan dan didraf semula.

 

“Kemudian ia akan dihantar sekali lagi kepada Sultan Perak untuk ditandatangani. Ia perlu dilakukan dengan betul mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini kelmarin.

 

Pada 5 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, dua rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS disyaki bersubahat memenggal kepala seorang tahanan kumpulan itu di Raqqa, Syria pada awal tahun ini.

 

Dua rakyat tempatan itu dikenali sebagai Mohd. Faris Anuar, 20, dari Gurun, Kedah dan Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, 25 berasal dari Durian Tunggal, Melaka.

 

Kumpulan IS yang terkenal kerana memenggal kepala tahanan kini berjuang di Iraq dan Syria bagi menubuhkan sebuah negara yang ditadbir menggunakan sistem pemerintahan khalifah. – KOSMO!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.