Oh My English Ke Perancis

OH My English mencipta sejarah apabila dicalonkan dalam Anugerah Digital Emmy 2015 yang akan berlangsung di Cannes, Perancis 13 April ini.

 

Menariknya, program popular Astro ini adalah satu-satunya rancangan dari Asia Tenggara yang tercalon bagi anugerah berprestij itu.

 

Ia dicalonkan menerusi kategori Children & Young People, dan bakal berentap dengan beberapa pencalonan lain dari negara seperti United Kingdom, Jerman dan Brazil.

 

Menurut Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, pihaknya tidak menyangka Oh My English akan tercalon dalam anugerah tersebut.

 

“Sebenarnya ini kali pertama kami menghantar pencalonan untuk Oh My English bagi anugerah ini.

 

“Tidak sangka pula ia telah terpilih. Ini membuktikan biarpun kita sebuah negara kecil namun dari segi inovasi kita setanding dengan mereka,” katanya.

 

Anugerah Digital Emmy diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada program yang menggunakan platform digital.

 

Tambah Putri Yasmin, Oh My English menjadi perhatian kerana ia turut menjadi fenomena di medium digital walaupun disiarkan di televisyen.

 

“Pihak Astro telah menggunakan sebaik-baiknya platform digital untuk memastikan Oh My English mencapai matlamatnya dalam memberikan informasi kepada penonton dan bukan hanya sekadar hiburan.

 

“Sebagai contoh, penonton boleh mengutarakan soalan menerusi telefon pintar menerusi segmen Brainbox,” katanya.

 

Sehingga kini, Oh My English mempunyai 15 juta tontonan di Youtube, 661,000 pengikut di Facebook, 100,000 (Twitter) dan 31,000 (Instagram).

 

Pertama kali disiarkan pada 2012, Oh My English, menampilkan barisan pelakon seperti Zain Saidin, Adibah Noor dan Tiz Zaqyah. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.