Najib Sedang ‘Dibicarakan’ Media

Oleh: SSK

 

Kota Kinabalu – Menjadi Perdana Menteri, tidak bermakna seseorang individu itu kehilangan hak untuk mendapat keadilan atau diadili, sama seperti yang diberikan kepada setiap rakyat.

 

Bagaimanapun, hari ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang diberi ‘keadilan’ sama yang telah diberikan kepada bekas pemimpin negara sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, hampir 18 tahun lalu.

 

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menulis, beliau masih ingat bagaimana kumpulan penyokong Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam UMNO, menyerang Dr Mahathir dengan dakwaan, kononnya ahli keluarga dan rakan-rakannya meraih kekayaan, melalui hubungan dengan Perdana Menteri, pada 1997.

 

Ketika itu, Dr Mahathir dituduh mengamalkan kronisme dan nepotisme, tema dalam kempen untuk menjatuhkan beliau.

 

“Pada dasarnya, Perdana Menteri telah tertakluk kepada perbicaraan oleh media dan dihukum oleh mahkamah pendapat orang ramai.

 

“Orang ramai pula, sudah tentu termakan dengan semua tuduhan yang dilemparkan, kerana apa juga tuduhan terhadap individu yang memegang tampuk kuasa akan dianggap sebagai benar, walaupun tidak disokong bukti nyata,” tulis Salleh dalam catatan terbaru di laman blognya, hari ini yang bertajuk ‘Perbicaraan Najib oleh media’.

 

Salleh menyifatkan perkara itu sebagai fenomena berbahaya, kerana pihak yang melemparkan tuduhan tidak perlu membuktikan kesalahan orang yang didakwa, sebaliknya individu yang dituduh, perlu bertungkus lumus membuktikan dirinya tidak bersalah.

 

Perkara itu bertentangan dengan apa yang sepatutnya diamalkan dalam sistem keadilan dan kehakiman.

 

“Anwar merungut dia dibicarakan oleh media dalam kedua-dua episod kes liwat I dan II.

 

“Beliau juga merungut serangan terhadap beliau adalah tidak adil.

 

“Mahathir juga menyebut perkara sama, ketika beliau diserang Anwar, satu ketika dahulu,” tulisnya.

 

Dipendekkan cerita, kata Salleh, selepas lebih satu dekad, tiba giliran Najib untuk berada di bawah pemerhatian awam.

 

Sehubungan itu, Najib telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan hingga ke akar umbi, berkaitan kontroversi yang membelenggu syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Proses siasatan baru bermula dan masih berterusan.

 

“Bukankah lebih baik menunggu keputusan siasatan itu, sebelum kita cuba membuat sebarang kesimpulan?” soal Salleh.

 

Beliau berkata, dalam profesion undang-undang, sering dikatakan keadilan tidak hanya dilakukan, tetapi juga perlu dilihat sebagai telah dilakukan.

 

“Jika ini adalah standard keadilan yang kita inginkan, maka lebih bijak untuk membiarkan pihak berkuasa yang diamanah menjalankan siasatan untuk menyiapkan kerja mereka, sebelum kita merumuskan sama ada pihak yang sedang disiasat itu terbukti bersalah atau sebaliknya,” tulis Salleh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.