Muhd Aril Hampir Terlepas Penerbangan Ke China

PUTRAJAYA – Muhd Aril Zafran, bayi lapan bulan yang menghidap penyakit hati kronik ‘Biliary Atresia’ berlepas ke China, pagi semalam, bagi menjalani pemindahan hati di Shanghai.

 

Bagaimanapun, Muhd Aril yang dibawa ibu dan bapanya, nyaris terlepas penerbangan itu kerana ini kali pertama mereka menaiki pesawat dan tidak tahu prosedurnya.

 

Bapa bayi itu, Jamilulehsan Mohd Taridi, 28, dan ibu, Nur Amirah Syazwani Pandi, 22, tidak tahu mereka perlu mendaftar masuk dua jam sebelum penerbangan berlepas jam 9.30 pagi.

 

“Kami tak pernah naik kapal terbang, tak tahu perlu daftar masuk awal. Namun, kami bersyukur kerana ada pihak sempat memaklumkan sebelum terlambat. Alhamdulillah, walaupun dalam masa yang suntuk, urusan kami dipermudahkan.

 

“Mungkin sudah tersurat rezeki kami untuk pergi juga mendapatkan rawatan di China. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” kata Jamilulehsan ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Shanghai.

 

BH sebelum ini melaporkan doktor mengesahkan keadaan Aril yang menghidap penyakit itu sejak usia dua bulan, kini kritikal dan jalan terakhir bagi menyelamatkannya adalah melalui pemindahan hati.

 

Jamilulehsan disahkan sesuai untuk menderma hati kepada anaknya selepas menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum ini. Tiga beranak itu dijangka berada di Shanghai selama tiga bulan.

 

Penderitaan Aril mengundang simpati pelbagai pihak yang menyalurkan sumbangan sehingga berjaya mengumpul dana bagi membolehkannya menjalani pemindahan hati di China dengan kos RM130,000. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.