Malaysia, Myanmar Kenal Pasti Bidang Utama Kerjasama

Kuala Lumpur – Malaysia dan Myanmar mengenal pasti pelbagai bidang kerjasama untuk kedua-dua negara meneroka demi manfaat bersama meliputi perdagangan dan pelaburan, sumber manusia, pendidikan, pelancongan dan bidang teknikal serta pembinaan keupayaan.

 

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar menyifatkan lawatan sulung Presiden Myanmar Thein Sein ke Malaysia merupakan peristiwa penting bagi hubungan dua hala kedua-dua negara dan akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Myanmar serta merangsang kerjasama ekonomi yang lebih luas.

 

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Myanmar bersetuju untuk memupuk hubungan melalui pertukaran lawatan di semua peringkat dalam usaha meningkatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat.

 

“Hubungan antara kedua-dua negara ini akan menyediakan asas yang kukuh dalam mengembangkan kerjasama dua hala pada masa depan bagi perkongsian yang lebih erat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena perbincangan antara Thein Sein dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

Menurut kenyataan itu, pada mesyuarat berkenaan, kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan yang berhasil mengenai isu dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai pendekatan untuk memperkukuhkan lagi hubungan.

 

Kenyatan itu menyebut, Malaysia dan Myanmar mengiktiraf keperluan untuk sentiasa mengekalkan hubungan, perundingan dan kerjasama rapat di pelbagai peringkat dan menggalakkan pertukaran idea dan pendapat secara tetap mengenai isu antarabangsa yang mempunyai faedah bersama.

 

Ini akan dilakukan dalam mesyuarat dan persidangan antarabangsa melibatkan organisasi seperti ASEAN, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan rangka kerja organisasi antarabangsa yang penting, katanya.

 

Mengenai kerjasama ekonomi, kementerian itu berkata kedua-dua negara bersetuju bahawa perdagangan dua hala dan pelaburan perlu terus diperluas dan dipelbagaikan.

 

Myanmar merupakan rakan dagang ke-38 terbesar Malaysia di peringkat global dan ketujuh terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara sebanyak RM3.18 bilion tahun lepas.

 

Menurut kementerian itu, Najib dan Thein Sein juga bersetuju meneruskan kerjasama negara masing-masing dalam pelbagai organisasi serantau dan antarabangsa.

 

Thein Sein diiringi isteri, Daw Khin Khin Win sempena lawatan dua hari ke negara ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Mereka dijadual berlepas ke Yangon lewat hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.