Kritik Hadi Secara Terbuka, Hanipa Maidin Dikecam

Kuala Lumpur – Tindakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin mengkritik kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka, dikecam dan disifatkan tidak wajar.

 

Malah, Mohamed Hanipa juga dilihat bersikap angkuh, kerana apabila ditegur berhubung perkara itu, Ahli Parlimen Sepang itu seolah-olah memberi reaksi “acuh tak acuh”.

 

Menurut Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, perbuatan Mohamed Hanipa mengkritik Presiden parti tidak seharusnya berlaku di kalangan ahli PAS, kerana tindakan itu boleh memperluaskan lagi jurang perpecahan di kalangan ahli.

 

“Sepatutnya tidak perlu berbuat begitu, kita ada saluran dalaman parti untuk mengkritik mahupun menegur.

 

“Dan saya juga sudah menegur tindakan beliau ini, selepas mengetahui perkara tersebut, tetapi beliau memilih untuk menjawab ‘agree to disagree’ (bersetuju untuk tidak bersetuju) dengan teguran saya itu,” jelas Suhaizan kepada The Rakyat Post, ketika dihubungi hari ini.

 

Suhaizan yakin, kepimpinan Abdul Hadi mampu menyatupadukan majoriti ahli parti itu, selepas ketiadaan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

Beliau tidak nampak sebarang kelemahan pada Ahli Parlimen Marang itu untuk terus memimpin.

 

“Pada saya, selepas Tok Guru Nik Aziz tiada, Tok Guru Hadi adalah kekuatan yang ada untuk terus menyatukan majoriti ahli PAS.

 

“Jadi, kita patut memberi sokongan dan bantuan kepada parti, untuk terus mengukuhkan lagi parti, kerana itu adalah matlamat utama sekarang ini,” katanya.

 

Pandangan Suhaizan turut disokong bekas Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Mahfodz Mohamed yang beranggapan, Abdul Hadi bukanlah tokoh pimpinan lemah sehingga perlu digantikan dengan presiden baru secara tergesa-gesa.

 

Malah, menurut Mahfodz, kekuatan Abdul Hadi jelas masih relevan, malah sudah diiktiraf, kerana beliau turut dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, pada 22 Ogos tahun lalu.

 

“Bagi saya, Abdul Hadi tidak lemah dan masih boleh memimpin parti. Jika benar dia lemah, sekarang dia adalah Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, jadi di mana lemahnya?

 

“Kenapa nak sibuk kritik beliau secara terang-terangan? Ini tidak digalakkan dalam Islam,” tegas beliau kepada The Rakyat Post.

 

Mahfodz juga berkata, kedudukan Abdul Hadi selaku Presiden akan terjawab, menjelang Muktamar PAS, Jun ini.

 

“Kita ada ahli yang ramai dan ada 1,000 lebih perwakilan. Jadi, kenapa sibuk-sibuk nak kritik. Tunggu sahaja masa Muktamar PAS nanti.

 

“Itu akan menentukan sama ada Abdul Hadi masih layak memimpin atau sebaliknya,” tambah beliau.

 

Semalam, ketika forum bertajuk “Ke mana PAS tanpa Tuan Guru Nik Aziz”, anjuran portal Malaysiakini yang turut membariskan Mohamed Hanipa sebagai seorang panel, beliau berkata, ahli PAS yang menyokong Abdul Hadi terus menjadi Presiden PAS adalah mereka yang merosakkan parti itu.

 

Kata Mohamed Hanipa, ulama PAS pada hari ini, walaupun arif dalam soal hukum-hakam agama, tetapi gagal memahami landskap politik semasa.

 

Katanya, golongan berkenaan hidup dalam dunia yang mereka bina sendiri dan terkepung dalam ketakutan serta kegelisahan.

 

“Mereka yang balik dari Timur Tengah, kalau daripada segi menghafaz, tafsir hadis dan al-Quran ini sempurna, tetapi gagal memahami realiti.

 

“Kalau tanya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dia pun tak tahu 1MDB. Ini realiti dalam PAS,” katanya.

 

Suhaizan turut menjadi ahli panel forum itu, di samping Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib; Pengerusi Islamic Renaissance Front, Dr Ahmad Farouk Musa dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.