Kenapa Pijak Beg Aku: Guru Kecewa Masyarakat Salah Terima Mesej

Tanjung Karang -Seorang guru melahirkan rasa kecewa dengan penerimaan masyarakat yang terkhilaf dalam memahami maksud dan mesej yang ingin disampaikan melalui gambar murid lelaki yang sedih apabila begnya dipijak.

 

Menurut guru pelajar terbabit, Noor Afifah Mohd Baharuddin ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi berkata, mesej yang ingin disampaikan ialah agar masyarakat menghargai jasa dan pengorbanan kedua-ibu bapa.

 

“Saya terkejut dan kecewa apabila membaca komen-komen yang ditulis pengguna media sosial apabila gambar tersebut mula di sebarkan melalui Facebook… ada yang mempersoalkan peranan guru ketika kejadian itu berlaku malah ada juga yang mahu agar rakan murid tersebut dihukum.

 

“Niat saya memuatnaik gambar tersebut supaya kita saling menghargai jasa dan peranan ibu bapa, tapi masyarakat salah tafsir dan menyalahkan Izham. Paling saya terkejut apabila membaca komen yang meminta Izham di pukul dan ditampar kerana perbuatan tersebut,” ujarnya kesal kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurut Noor Afifah adalah tidak wajar untuk menghukum kanak-kanak tersebut memandangan usia mereka yang masih muda.

 

“Biasalah namapun budak-budak sudah tentu ada yang lasak dan nakal, namun mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa, oleh itu menjadi tugas kami mendidik mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak.

 

“Saya turut menghubungi pengendali laman-laman Facebok yang memuatnaik gambar tersebut dan meminta mereka agar segera memadamkannya kerana tak sanggup membaca komen-komen yang mengutuk Izham” ujarnya lagi.

 

Noor Afifah sebelum ini memuatnaik sekeping gambar mengenai seorang murid yang sedih apabila beg milik bapanya dipijak oleh rakan sekelasnya.

 

“Hari ini Izham memang susah Ifa nak kawal, ada sahaja ideanya nak usik kawan biasalah budak-budak. Alkisah Izham dah kotorkan beg Firdaus dengan memijak beg itu.

 

“Sedih Firdaus sambil sapu kotoran kasut Izham pada bengnya sambil cakap… ko ni napa kotorkan beg aku? tahu tak ni beg ayah aku? kotor dah.. dah la ayah aku dah tak ada” tulis Noor Afifah di laman Facebooknya sebelum ini.

 

Menurut tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Batu 9 Jalan Bomba itu, bapa kepada Firdaus telah meninggal dunia kerana sakit pada Januari lalu.

 

Beliau turut memohon maaf kepada keluarga Firdaus dan Izham sekiranya isu yang dibangkitkan mengecilkan hati mereka kerana niat baiknya telah disalah ertikan.

 

“Apabila mendengar dialog perbualan mereka saya merasa tersentuh dan berharap ia mampu dijadikan pengajaran namun tak sangka pula jadi macam ni.

 

“Apapun saya menyeru agar masyarakat berhenti meletakkan kesalahan tersebut kepada Izham kerana dia tidak bersalah tambahan pula kekerasan bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik” ujarnya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

 

Menurut Noor Afifah lagi disebabkan isu ini menjadi ‘viral’, pihaknya menerima panggilan daripada individu-individu yang tidak dikenali yang bermurah hati untuk menyalurkan sumbangan terhafap Firdaus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.