Kenapa Hakim Dicerca Sewenang-Wenang

Oleh: Herman Hamid

 

Di atas kertas, undang-undang Malaysia dalam banyak perkara diakui antara terbaik dan menyeluruh. Ini termasuk dalam hal berkaitan perlindungan kepada mahkamah daripada ditohmah secara sewenang-wenangnya.

 

Malah, perihal hakim juga dilarang daripada disentuh secara terbuka pada persidangan Dewan Rakyat. Imuniti Ahli Parlimen untuk bercakap apa sahaja dikecualikan daripada perkara ini melainkan terdapat usul khas.

 

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Perkara 36 (8) menyebut dengan jelas larangan ini yang disandarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 127 mengenai sekatan perbincangan di dalam Parlimen tentang kelakuan hakim.

 

Namun realitinya, seperti mana dalam banyak hal, aspek pelaksanaan undang-undang sering menjadi tanda tanya kerana adakalanya tinggal di atas kertas.

 

Sesi perbahasan Sidang Dewan Rakyat yang bermula Selasa lalu menyaksikan institusi kehakiman dilemparkan pelbagai tuduhan terutama yang paling berat oleh Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

 

Nurul Izzah berpeluang berucap, menuduh hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan kes rayuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dibeli oleh syaitan hanya kerana mendapati bapanya bersalah.

 

“Dalam tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik, hakim-hakim menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman.

 

“Mereka menjual diri mereka kepada syaitan, memperdagangkan nurani demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan,” kata Nurul Izzah yang menjelaskan ucapannya itu seperti apa dinyatakan Anwar.

 

Tuduhan sama ada oleh Nurul Izzah atau Anwar, sememangnya amat serius. Undang-undang jelas melarang tapi mereka tidak mempedulikannya. Biarpun bagi mempertahankan bapa sendiri, namun siapa yang boleh mengatasi undang-undang.

 

Sebab itu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dengan lantang menyelar tindak-tanduk pembangkang yang hanya mahu menerima keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka tetapi akan menuduh yang bukan-bukan jika sebaliknya.

 

“Tak ada siapa yang kentut akan mengaku,” tegas Azalina dan ini membuatkan wakil pembangkang panas telinga terutama Nurul Izzah.

 

Hakikatnya, apa yang dilakukan pembangkang mempertikaikan keputusan hakim sesedap rasa politik bukan sahaja mengelirukan rakyat bahkan menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman.

 

Sedangkan segala undang-undang dibuat melarang daripada membicarakan secara terbuka kelakuan hakim adalah bagi melindungi badan kehakiman yang menjadi satu daripada teras pemerintahan negara menerusi doktrin pengasingan kuasa.

 

Namun di mana tindakannya. Baik Anwar, Nurul Izzah atau wakil pembangkang lain menggunakan peluang perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi mencerca lima hakim terlibat demi menegakkan benang yang basah.

 

Kenapa penjenayah lain perlu menurut perkara ini tetapi tidak Anwar dan pembangkang? Hakim dicerca dengan pelbagai tohmahan. Apa istimewanya Anwar, anaknya dan sekutu mereka?

 

Sedangkan seperti kata Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), semua tertakluk kepada prinsip tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.

 

Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-13 ini akan berlangsung banyak minggu lagi, apakah akan terus dibiarkan wakil-wakil pembangkang terus ‘membelasah’ hakim-hakim terlibat.

 

Walaupun ada juga wakil pembangkang seperti seorang dua daripada Pas yang tidak pun menyentuh mengenai kes Anwar, namun yang lain tetap mengatakan mahkamah terlibat dalam konspirasi ke atas Ketua Pembangkang itu.

 

Dalam perkara ini, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang turut berbahas nampaknya lebih cermat dan cerdik. Beliau mengelak daripada beremosi sebaliknya menyentuh badan kehakiman secara umum iaitu soal meningkatkan imej.

 

Seperti kata Gobind, beliau menyedari Peraturan 36 (8) yang melarang hakim disentuh dalam ucapan pada Sidang Dewan Rakyat kecuali terdapat satu usul mengenainya.

 

Kepada wakil pembangkang yang lain, contohilah Gobind setidak-tidaknya. Matlamat semua melihat Parlimen Malaysia berada dalam kelas pertama, tetapi jika peraturan dewan tidak dihormati mereka sendiri, apa akan jadi dengan `dewan yang mulia’?

 

Selain itu, tinggalkanlah isu Anwar, hormatilah institusi kehakiman seperti mana menerima keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka. Berlaku adillah kepada semua termasuk mangsa.

 

Lagipun, serangan bertubi-tubi kepada hakim tanpa melalui satu usul khas yang ditetapkan peraturan dewan akhirnya membuang masa mereka yang sepatutnya menyuarakan lebih banyak isu rakyat dan masalah di kawasan.

 

Bukannya selepas Anwar, Anwar dan Anwar. Memang sampai kiamat pun tak akan habis sedangkan amanah pengundi lagi penting.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.