Isteri Presiden Myanmar Lawat Kompleks Kraf

KUALA LUMPUR – Isteri Presiden Myanmar, Daw Khin Khin Win menghabiskan kira-kira satu jam melawat Kompleks Kraf Negara di sini, hari ini.

 

Ketibaan Khin Khin Win dan delegasinya disambut Timbalan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Zuraida Mokhtar, yang turut memberi taklimat mengenai kraftangan tradisional, termasuk tekstil tempatan seperti songket dan batik.

 

Khin Khin Win melawat kompleks berkenaan dan mencuba melukis batik dan membeli beberapa barangan tradisional sebagai cenderahati termasuk kain batik di butik Kraf Karyaneka.

 

Delegasi kemudian bertolak ke Seri Perdana, bagi mengadakan pertemuan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

 

Presiden U Thein Sein dan isteri tiba semalam untuk lawatan dua hari ke Malaysia.

 

Sementara itu, Zuraida berkata semasa lawatan itu, Khin Khin Win memberi respons positif dan menunjukkan minat terhadap seni kraf yang dihasil dan dipamerkan di kompleks itu.

 

“Beliau sungguh kagum dengan hasil kraftangan hasil usahawan tempatan. Ia juga mengingatkan beliau kepada hasil seni di tanah airnya yang lebih kepada tenunan,” katanya.

 

Dalam pada itu beliau berkata Kraftangan Malaysia menyasarkan keuntungan RM25 juta pada tahun ini melalui penjualan lebih banyak produk terbaharu yang akan dipamerkan pada Hari Kraf Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 26 Mac sehingga 7 April ini.

 

Sebanyak 638 usahawan kraf dijangka menyertai acara itu tahun ini yang akan turut diisi dengan pelbagai acara tradisional, katanya. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.