Cara Penyampaian Berbeza Elak Rasa Bosan

SHAH ALAM – Tidak salah menyelitkan unsur nyanyian dan jenaka dalam ceramah agama jika bertujuan untuk menarik minat dan mengelakkan rasa bosan pendengar.

 

Pendakwah, Haslin Baharim atau lebih dikenali Ustaz Bollywood berkata, bagaimanapun ia mestilah tidak keterlaluan dan berlebihan sehingga menjejaskan kandungan ceramah disampaikan.

 

“Setiap pendakwah mempunyai cara penyampaian yang berbeza. Malah, tidak semua pendakwah mampu menyelitkan nyanyian dan jenaka dalam ceramah kerana ia merupakan satu seni.

 

“Bagaimanapun, pendakwah jangan melampaui batas sehingga menjadikan nyanyian dan jenaka melebihi ceramah itu sendiri. Saya misalnya hanya memasukkan unsur nyanyian sebagai selingan,” katanya, semalam.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegur pendakwah menggunakan nyanyian dan jenaka yang keterlaluan dalam ceramah agama.

 

Haslin merupakan antara pendakwah yang terkenal dengan ceramahnya yang diselangi melodi Hindustan sehingga mendapat gelaran Ustaz Bollywood.

 

Mengulas lanjut, Haslin berkata, cara penyampaian sebegitu juga mengikut kelompok pendengar bersesuaian.

 

“Kalau berceramah di seminar mungkin tidak ada keperluan sebab audiens terdiri daripada mereka yang berpendidikan. Tetapi untuk ceramah kepada masyarakat umum dan pelbagai lapisan, kita tidak boleh terlalu serius dan ilmiah.

 

“Contoh yang digunakan juga lebih banyak diambil daripada pengalaman, misalnya masalah rumah tangga. Mungkin itu yang menyebabkan pendengar ketawa dan seronok kerana dekat dengan mereka,” katanya.

 

Dalam pada itu, menurut Haslin, beliau terbuka dengan sebarang pandangan mengenai penyampaian dakwahnya.

 

“Saya meraikan semua pandangan termasuk daripada Harussani kerana beliau seorang berpengalaman. Mungkin itu pandangan peribadi beliau dan saya tiada masalah untuk terima,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.