Blog Tun M Disekat Kerana Trafik Terlalu Tinggi

Kuala Lumpur – Blog milik Tun Dr Mahathir Mohamad, chedet.cc, yang digantung oleh pentadbir petang tadi kembali pulih boleh diakses.

 

Tinjauan SuaraTV mendapati blog tersebut kembali beroperasi seperti biasa dan artikel ‘kontroversi’ yang dikatakan ‘punca’ ia digantung masih dipaparkan.

 

Terdahulu memetik laporan sebuah portal, Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Sufi Yusof berkata blog berkenaan tidak boleh diakses siang tadi kerana sedang dalam proses pemulihan semula.

 

Menurut beliau, pihaknya kini sedang melakukan ‘pembersihan yang diperlukan pada sistem komputer pelayan’.
“Kami mengesan aktiviti trafik yang luar biasa pada blog ini dan kini sedang melakukan apa yang patut untuk membetulkannya. Sejurus segalanya selesai, kami berharap blog ini akan kembali sedia dikunjungi seperti sediia kala,” beliau dipetik sebagai berkata.

 

Sufi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara tersebut.

 

“Kami akan menguruskan hal ini sendiri terlebih dahulu,” ujarnya.

 

SKMM dilaporkan berkata, pihaknya tiada sebarang kaitan dengan blog yang disekat itu.

 

“Setakat yang diketahui, kita tidak mempunyai apa-apa kaitan dengannya. Saya cadangkan supaya anda periksa dengan pemilik blog tentang mengapa laman web itu tidak boleh diakses,” ujar Pengarah Kanan Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman.

 

Terdahulu blog tersebut tidak boleh diakses kerana dikatakan ‘digantung’ selepas satu artikel yang dimuatnaik selepas mengkritik isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Pada peringkat awal, mereka yang cuba mengakses laman blog berkenaan akan menerima mesej “this account has been suspended” atau “akaun ini telah digantung” dan ia mula disedari pada jam 4.30 petang.

 

Bagaimanapun, mesej itu kemudiannya digantikan dengan “Error establishing a database connection” atau “masalah berlaku dalam sambungan pangkalan data.”

 

Menurut iWeb hosting blog yang berpangkalan di Kanada, pelayan (server) telah diaktifkan semula, selepas digantung.

 

“Sekarang kami sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pangkalan data,” kata pasukan sokongan iWeb.

 

Pada tahun 2008, blog tersebut pernah digantung oleh penyedia khidmat Blogger.com kerana dianggap sebagai “blog spam”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.