ATM Perlu Diaudit Dengan Teliti – PAC

Kuala Lumpur – Jabatan Audit Negara (JAN) perlu melakukan audit segera secara menyeluruh terhadap tatacara perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed, ATM dan ketiga-tiga cabang darat, laut dan udaranya perlu diaudit bagi memastikan tiada unsur ketirisan dan salah guna kuasa oleh pihak angkatan bersenjata negara tersebut.

 

Menurutnya, beliau akan menulis surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam waktu terdekat untuk menggesa supaya jabatan berkenaan dapat melaksanakan segera proses audit secara menyeluruh terhadap tatacara perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya.

 

“JAN perlu melakukan pengauditan terhadap tatacara dan prosedur perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya bagi memastikan imej pihak berkuasa keselamatan ini sentiasa dihormati rakyat.

 

Gesaan ini dibuat susulan penangkapan beberapa pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi khas, baru-baru ini, susulan maklumat awam dan hasil siasatan SPRM terhadap gaya hidup semua penjawat awam terbabit yang melebihi daripada kemampuan pendapatan bulanan mereka.

 

Menurut beliau, operasi itu membuktikan adanya kelemahan dalam tatacara perolehan ATM dan ekoran itu pengauditan secara menyeluruh perlu dilaksanakan segera.

 

“ATM perlu lebih telus dalam soal perolehan aset dan kelengkapan perkhidmatannya kerana ia menggunakan wang rakyat dan tidak elok memberikan alasan tidak boleh mendedahkan tatacara perolehan atas sebab rahsia dan sensitif kerana dikhuatiri mengancam keselamatan negara sedangkan, berlaku unsur penyelewengan dan rasuah di kalangan anggota serta pegawainya,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau turut mengakui PAC beberapa tahun lalu pernah memanggil pihak Tentera Udara Malaysia (TUDM) meminta penjelasan berhubung pembelian helikopter jenis Eurocopter tetapi banyak perkara tidak dapat didedahkan atas alasan ia membabitkan perkara sensitif dan rahsia kerana menyentuh soal keselamatan negara.

 

Semalam seorang lagi pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander direman lima hari di Mahkamah Majistret Ipoh berhubung siasatan meminta dan menerima rasuah.

 

Reman terhadap tertuduh yang berusia 39 tahun dikeluarkan oleh Majistret Suhaima Mohd Noor selepas menerima permohonan SPRM.

 

Suspek berkenaan adalah pegawai keenam dari TLDM yang direman bagi membantu siasatan kes itu.

 

Tangkapannya menjadikan keseluruhannya 15 orang, termasuk sembilan orang awam ditahan SPRM berkaitan kes itu.

 

Selasa lalu, 14 individu termasuk lima anggota dan pegawai TLDM ditahan reman tujuh hari sehingga 16 Mac ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

 

Lima anggota dan pegawai TLDM, termasuk seorang wanita yang ditahan itu berdepan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, kerana kesalahan meminta dan menerima rasuah.

 

Manakala sembilan orang awam, termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 17(b) akta sama kerana kesalahan memberi rasuah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.