KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah dakwaan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa isu terkait titah addendum menjadi punca pelaburan jatuh.
Tegas Anwar, jumlah dagangan saham meningkat RM2 trilion sekali gus menepis dakwaan pembangkang yang mengaitkan soal titah addendum menyusutkan keyakinan pelabur.
“Saya nak bangkitkan soal addendum kerana Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) menyebut addendum menyebabkan pelaburan jatuh. Saya nak tanya angka ini dari mana?
“Pelaburan meningkat jadi cakap itu tidak bertanggungjawab sebab itu kita jawab tegas, cakap mengarut tidak berdasarkan fakta. Kalau cakapnya bagi cadangan umpamanya
cadangan dia, cadangan Yang Berhormat mengatakan Bursa Malaysia harus menjalankan reformasi, saya setuju, ada perubahan pimpinan Bursa Malaysia dengan maksud memberikan peluang reform.
“Ada cadangan awal tetapi saya setuju harus ditingkatkan tetapi kena faham juga dalam keadaan sekarang pun jumlah dagangan saham meningkat RM2 trilion. Jadi nak mengatakan ini sudah kehilangan keyakinan dan pelaburan, maknanya kalau jatuh satu soal tetapi meningkat.
“Ini yang saya bangkitkan bukan masalah tidak mahu dengar, saya dengar tetapi kita tahu juga bahawa addendum inilah menyebabkan keyakinan. Saya tidak faham, maksud dia apa? Soal tidak jawab addendum saya dah bagi tahu saya nak jawab macam mana, ini kes mahkamah. Saya boleh jawab, saya dah bagi jaminan di Parlimen. Selesai kes mahkamah saya
akan jawab, saya nak tengok Ketua Pembangkang hadir atau tidak. Yes!.
“Nak lari dari mana? Ya, kamu boleh jerit, jerit banyak mana pun, saya tahu fakta dia tetapi nak suruh singgung kedudukan Raja, saya tidak boleh dan saya dalam hal ini, boleh check, saya memang hubungi Raja-raja. Pergi tanya Sultan Kelantan, Melaka tak ada Sultan jangan cakap banyak,” tempelak Anwar.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, isu titah addendum akan dijelaskan apabila urusan mahkamah selesai.
“Jadi, saya nak bangkitkan saya dah sebut di sini, kalau diizinkan selepas kes mahkamah, saya dah janji di sini, saya harus jelaskan. Tetapi saya tidak boleh sekarang kerana kes itu di mahkamah tetapi pembangkang tidak peduli, subjudice tidak peduli kerana dia anggap dia above the law.
“Saya mesti bagi contoh, itu satu tentang addendum tetapi tentang pelaburan saya dah baca tadi, semua angka dari bon, dari pelaburan, daripada pasaran saham, dari segi keuntungan syarikat semua menunjukkan upward dan sebab menjadi perhatian beberapa syarikat antarabangsa dan pelawat-pelawat dunia itu dilihat angka-angka ini.
“Nasib baik dia tidak dengar Ketua Pembangkang, kalau tidak tak datang dia,” kata Anwar lagi.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyatakan, semua indikator ekonomi negara meningkat, diakui oleh semua termasuk pendidikan.
“Dan saya telah sebut angka-angka ini, tapi dia masih pertahankan bahawa 0.2 peratus itu walaupun tinggi kejatuhannya di Thailand, Filipina dan Indonesia tetapi 0.2 peratus itu
sahaja angka yang menyebabkan hilang sama sekali keyakinan, tidak apalah itu pandangan Machang (Wan Ahmad Fayhsal), sebab itu Machang tidak maju.
“Tapi kalau kita lihat umpamanya angkanya, saya akan kaji beberapa keperluan peruntukan Machang, supaya Machang boleh membangun sedikit lagi. Baik bagi pasaran bon umpamanya, bon, tadi disebut Bursa sebab itu saya kata ini selektif yang nak menunjukkan sekurang-kurangnya penurunan walaupun tidak realiti kepada negara-negara lain.
“Tetapi kalau kita lihat banyak pasaran bon, aliran bersih itu positif. Setakat tahun ini, aliran bersih bon dari pelabur luar ialah RM1.55 bilion. Ini kalau dia tak yakin orang tak hantar masuk dalam sistem ini RM1.55 bilion.
“Tapi yang lebih penting bagi saya ialah tentang kadar pertumbuhan, peningkatan pelaburan dan kekuatan ringgit. Ini sebenarnya petanda dari segi fundamental walaupun masalahnya seluruh dunia. Terutama dengan beberapa keputusan Presiden Trump baru-baru ini yang menjejaskan Eropah, Kanada, Mexico, China, Latin Amerika dan Afrika keseluruhannya.
“Apakah ia akan kekal? Itu kita belum pasti. Tapi untuk untuk menggunakan ini seolah-olah mendukung langkah orang asing itu saya fikir tidak sihat,” kata Anwar.