Ramai Doktor Ponteng Dibuang Kerja

KLANG – Ramai pegawai perubatan terutama doktor pelatih dibuang kerja kerana tidak hadir tugas sehingga mencecah lebih 400 hari.

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata sektor perubatan mencatatkan kadar kehilangan kerja tertinggi di negara ini, namun tidak mendedahkan jumlah sebenar pegawai perubatan yang terbabit.

 

“Saya lihat banyak doktor atau kakitangan perubatan yang terpaksa dibuang oleh Kementerian Kesihatan kerana tidak hadir tugas.

 

“Apa pun alasannya, secara purata ada yang hilang dari tugas selama 100 hari, 200 hari hingga ada yang lebih 400 hari.

 

“Mungkin tekanan sebagai doktor pelatih ke atau bekerja di hospital ke. Ada yang bila suami atau isteri melanjutkan pelajaran ke luar negara mereka ikut saja tanpa mengikut proses yang ditetapkan,” katanya ketika melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, hari ini.

 

Sehubungan itu, katanya, pihak terbabit perlu mencari jalan penyelesaian untuk memudahkan peraturan sedia ada selain mencari punca mengapa ramai pegawai perubatan menghilangkan diri dari tugas sehingga tempoh yang agak.

 

Beliau berkata, masalah berkenaan berlaku di seluruh negara tanpa mengira jenis hospital atau lokasi.

 

Katanya, ia adalah satu kerugian berikutan ada pelajar perubatan yang ditanggung kerajaan dengan memakan perbelanjaan yang banyak terutama yang dihantar ke luar negara.

 

“Saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan (KK) melihat perkara ini,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.