Keputusan Majlis Syura Ulamak Sudah Termaktub

SHAH ALAM – Pendirian Pas untuk tidak menyertai Pakatan Harapan dan Bersatu sememangnya telah termaktub dalam keputusan Majlis Syura Ulamak.

 

Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah adalah merujuk kepada keputusan tersebut.

 

“Kedudukan kerjasama Pas dengan parti-parti lain telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak pada persidangan yang lalu.

 
“Kita telah memutuskan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah dan itulah keputusan rasmi yang telah dikeluarkan. Jadi, kami tidak perlu diberi masa sebulan atau tempoh tertentu kerana keputusan telah dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, Pas masih membuka ruang buat Bersatu untuk menyertai parti Islam itu menerusi Blok Ketiga.

 

“Sememangnya kita membuka ruang kepada Bersatu untuk berbincang mengenai kerjasama dan seumpamanya tapi dengan syarat tidak membabitkan DAP dan Amanah.

 

“Jika Bersatu mahu bersama (blok ketiga), kita tidak ada masalah dan dialu-alukan,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.