Gadis Tertekan Jadi Jutawan Di Usia Muda

LONDON – Jane Park baru berusia 17 tahun apabila diumumkan sebagai pemenang loteri EuroMillions dengan tiket pertama yang dibelinya pada 2013.

 

Gadis itu memenangi wang tunai berjumlah £1 juta (RM5.54 juta) sekali gus menjadi pemenang loteri paling muda dalam sejarah Britain.

 

Bagaimanapun, Jane yang kini berusia 21 tahun mengakui dia kadangkala berharap dia tidak membeli tiket loteri yang menjadikannya kaya-raya sekelip mata.

 

Katanya, kekayaan itu menjadikan dia sangat tertekan dan dia kini mempertimbang untuk menyaman syarikat loteri berkenaan.

 

“Pada mulanya saya berpendapat kehidupan saya akan 10 kali lebih baik tetapi ia menjadi 10 kali lebih buruk.

 

“Kadangkala saya berharap saya tidak mempunyai wang sebanyak ini. Kehidupan saya mungkin lebih baik sekiranya saya tidak menang,” katanya.

 

Jane yang memiliki beberapa hartanah hasil pelaburan wang loteri berkenaan berkata, dia mengalami tekanan yang hebat kerana kekayaan itu.

 

“Orang mungkin mahu menjadi seperti saya dan memiliki wang yang banyak tetapi mereka tidak tahu tekanan besar yang saya alami.

 

“Saya mempunyai wang dan harta tetapi masa yang sama kehidupan saya kosong. Apa gunanya hidup seperti ini,” jelasnya.

 

Tambahnya dia sukar mendapat kekasih yang setia kerana semua lelaki yang ditemuinya hanya mahukan wangnya.

 

“Saya juga bosan membeli-belah dan berbelanja barangan mahal serta percutian mewah. Saya merindui bercuti dengan rakan-rakan dan kehidupan saya dahulu,” katanya.

 

Menurutnya, dia mempertimbangkan untuk menyaman syarikat loteri berkenaan kerana berpendapat had usia 16 tahun untuk membeli tiket loteri adalah terlalu muda. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.