Awie Rancang Buka Kelas Muay Thai

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, merancang membuka kelas mempertahankan diri Muay Thai di Kolej Vokasional di Gombak di sini, untuk mendidik wanita sebagai persediaan berdepan ancaman.

 

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 49, berkata hasrat memberi pendidikan awal kepada pelajar kolej itu timbul apabila melihat isu kekasaran membabitkan golongan terbabit semakin meruncing.

 

“Kolej itu dikuasai pelajar perempuan, maka perlu bagi mereka menguasai asas ilmu mempertahankan diri sebagai persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan.

 

“Kesempatan itu juga boleh digunakan untuk mendidik mereka supaya lebih berdisiplin. Awalnya saya ingin membuka kelas silat tetapi disebabkan sudah ditubuhkan, saya beralih kepada Muay Thai.

 

“Saya adalah ahli kehormat Kelab Kuda Merah Muay Thai dan tidak salah rasanya saya mengembangkan seni mempertahankan diri itu,” katanya kepada BH Online.

 

Beralih mengenai kedudukan pemain gitar utama Wings, Joe atau Abdul Zamin Abdul Kadir, 48, yang mendakwa dirinya disingkirkan selepas dikatakan menjadi punca pembatalan konsert di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember lalu, Awie enggan mengulas lanjut.

 

“Kami belum mencapai kata putus mengenai perkara itu. Lebih baik saya tidak memberikan apa-apa kenyataan kerana tidak mahu mengeruhkan situasi ini. Apabila tiba masanya, saya akan berkongsi perkembangannya.

 

“Ketika ini, fokus utama kami adalah kepada projek Wings bertujuan memperkenalkan produk seperti pakaian, jeans, alat muzik dan pelbagai lagi. Insya-Allah, sekiranya semua berjalan lancar, barangan itu akan berada di pasaran pada tahun ini,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.