Anzalna Tak Kisah Lama Di Lokasi

KUALA LUMPUR: Beraksi dalam drama rantaian lebih 100 episod bukanlah perkara asing buat pelakon jelita, Anzalna Nasir, 29.

 

Pernah membintangi drama Memori Cinta Suraya yang membabitkan 137 episod, terbaru, Anzalna akan beraksi dalam satu lagi projek drama rantaian panjang yang diadaptasi dari karya Itali berjudul Tuscan Passion.

 

Biarpun terpaksa berada lama di lokasi sehingga berbulan-bulan, Anzalna mengaku gemar memberi tumpuan kepada projek drama berdurasi panjang.

 

“Jika hendak diikutkan, jarak saya ‘berehat’ daripada projek drama panjang sebelum ini adalah setahun. “Saya beraksi dalam drama Memori Cinta Suraya sebelum bernikah, tahun lalu.

 

Selepas berkahwin, saya sempat berlakon dalam drama Arluna sebanyak 16 episod bersama Saharul Ridzwan,” katanya kepada BH Online.

 

Sekali lagi disunting Global Station untuk projek drama rantaian berpandukan naskhah Itali, Tuscan Passion, Anzalna mengaku selesa bekerja dengan syarikat produksi itu.

 

“Saya dan produksi Global Station sudah memahami antara satu sama lain,” katanya sambil menambah drama rantaian yang bakal memulakan penggambaran, bulan depan itu masih belum diberi judul Bahasa Malaysia.

 

Dalam projek itu, Anzalna akan membawa watak antagonis bersama pelakon Nabila Huda dan Ungku Ismail sebagai teraju utama.

 

Pengarah Feroz Kader yang menghasilkan drama Memori Cinta Suraya. bakal duduk di kerusi sutradara dalam projek terbaru itu. Drama terbaru itu dijangka disiarkan di Astro Ria.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.