2 ADUN DAP Serah Surat Keluar Parti

MELAKA – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP negeri ini menyerahkan surat pengisytiharan keluar daripada parti itu di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri pagi ini.

 

ADUN Bachang, Lim Jack Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong menyerahkan surat masing-masing kepada Setiausaha DUN Melaka, Mohd. Yusof Abu Bakar pada pukul 10.30 pagi ini memaklumkan mereka keluar daripada DAP dan menjadi ADUN Bebas berkuat-kuasa serta merta.

 

Speaker DUN Melaka, Datuk Othman Mohamad berkata, pihaknya menerima surat pengisytiharan keluar dua ADUN berkenaan dan kedudukan kedua-dua wakil rakyat itu akan berubah menjadi wakil rakyat Bebas dalam Sidang DUN Penggal Pertama yang akan diadakan mulai 7 hingga 10 Mac depan.

 

“Dua bekas ADUN itu akan ditempatkan selepas ADUN Duyong, Goh Leong San yang merupakan ADUN Bebas sejak Mac tahun lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

 

Semalam, ketiga-tiga ADUN parti terbabit bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him mengumumkan keluar daripada DAP kerana kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP di bawah Setiausaha Agongnya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.