Utamakan pekerja tempatan dahulu

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyarankan agar kerajaan memberikan keutamaan terhadap kebolehpasaran pekerja tempatan terlebih dahulu sebelum memperkukuhkan dan mementerai dasar pengambilan pekerja asing ke negara ini.

 

Menerusi ulasan beliau di dalam MalaysiaKini, Nurul Izzah memaklumkan bahawa kemasukan lebih ramai pekerja asing ke negara ini tidak perlu disegerakan sebaliknya kerajaan perlu menguatkuasakan kawalan terhadap undang-undang yang telah sedia ada.

 

“Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaan kawalan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

 

“Selesaikan dahulu isu kehadiran 5.8 juta pekerja asing; di mana 2.135 juta secara sah dan 3.7 juta tanpa izin,”katanya.

 

Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memaklumkan bahawa dasar penggunaan pekerja asing di negara ini akan mengurangkan lagi peluang pekerjaan kepada warga tempatan dimana seramai kira-kira 70 peratus hanya berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) ke bawah.

 

Menurut beliau, sehubungan itu, kerajaan sewajarnya memandang serius terhadap saranan yang dilontarkan oleh pemangku Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Halim sebelum ini yang memaklumkan bahawa penyelarasan kadar levi dapat menetapkan kuota mengikut sektor bagi mengelakkan lambakan pekerja asing di negara ini.

 

“Hari ini Low Yatt, kedai-kedai makan, stesen minyak, hotel-hotel, industri pembinaan, kilang-kilang seperti Proton dibanjiri dengan kehadiran pekerja asing.

 

“Akibatnya, gaji terus mengecil dan gagal berkembang. Kesemua industri ini mampu dipenuhi oleh pekerja tempatan jika mereka dibayar dengan sewajarnya,”katanya.

 

Dalam pada itu, Izzah memaklumkan bahawa dengan wujudnya mekanisme rundingan terus ini , ia akan menyulitkan lagi proses majikan untuk menghantar semula pekerja yang didapati bermasalah memandangkan mereka yang diterima masuk telah mendapat akses penuh daripada kedua-dua kerajaan.

 

Ujar beliau,selain itu, kuasa yang diberikan kepada agensi –agensi yang mengelola sistem ini menimbulkan persoalan memandangkan kerajaan kini mengalami isu ketirisan kepercayaan rakyat.

 

“Adakah mekanisme G2G bakal menghapuskan terus penggunaan ejen yang bakal menambah kos?

 

“Khususnya bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan, seharusnya tiada pekerja asing yang digunapakai; untuk sektor pembinaan peratusan maksimumnya 30 peratus dan bagi industri berasaskan agro/perladangan, peratusan maksimumnya pula 50 peratus.

 

“Penguatkuasaan dan pemantauan industri perlu untuk memastikan kuota yang ditetapkan diikuti,”katanya.

 

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid telah mengumumkan pengambilan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh untuk memenuhi sektor pekerjaan di Malaysia.

 

Namun begitu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam menegaskan bahawa tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat. -Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.