Saingan Liga Super Bermula Malam Ini

SAINGAN Liga Super 2016 yang bakal membuka tirai pada malam ini pastinya digunakan dengan sebaiknya oleh 12 pasukan terlibat untuk memeperkemas skuad masing-masing setelah berehat hampir kira-kira dua bulan.

 

Namun begitu, apa yang lebih menarik perhatian adalah bagi perlawanan Piala Sumbangsih yang menemukan dua pasukan unggul di Malaysia iaitu juara Piala Malaysia, Selangor dan juara Liga Super, Johor Darul Ta’azim(JDT).

 

Perlawanan yang dijadualkan berlansung di Stadium Tan Sri Yunos, Larkin ini dijangka bakal berlansung rancak berikutan setiap pasukan bukan sahaja mengidamkan tiga mata penuh malah mereka turut berentap bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada musim ini.

 

Menerusi  rekod terdahulu,  juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor merupakan pasukan paling banyak pernah merangkul Piala Sultan Ahmad Shah iaitu sebanyak lapan kali (1985, 1987, 1990, 1996, 1997, 2002, 2009 dan 2010).

 

Namun begitu, pasukan bimbingan Mario Gomez tampak mempunyai kelebihan apabila beraksi di laman sendiri malah rekod pertemuan kedua pasukan berkenaan pada musim lalu lebih memihak kepada JDT.

 

Dalam pada itu, pemain dari kelab Argentina, Juan Martin Lucero yang baru menyertai Harimau Selatan sebagai pemain import pada musim ini dilihat bakal mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan dengan Selangor.

 

Lucero dipilih bagi menggantikan Paulo Rangel yang dipindahkan ke JDT II selepas gagal menunjukkan prestasi terbaik dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini.

 

Bekas jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan yang dipilih bagi meneraju pasukan The Red Giant pada musim pastinya tidak akan berdiam diri dan mempunyai strategi tersendiri dalam merangka pergerakan pasukannya ketika pertemuan itu nanti.

 

Dengan barisan pemain berpengalaman yang dimiliki oleh Selangor, skuad bimbingan Zainal diyakini dapat mengucar-kacirkan pertahanan pasukan JDT.

 

Dari aspek keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengambil insiatif dengan menempatkan seramai 1,400 anggota untuk berkawal menjaga keselamatan sepanjang berlangsungnya perlawanan Piala Sumbangsih tersebut.

 

Dalam pada itu, kehadiran dua pasukan baru dalam siangan Liga Super iaitu Kedah dan Pulau Pinang pada musim kali ini pastinya memberikan lebih persaingan dalam misi merebut kedudukan sebagai pendahulu liga.

 

Walaupun dihambat dengan pelbagai kontroversi ekoran daripada penukaran pimpinan di negeri Kedah, pasukan Helang Merah itu dilihat bakal memberikan persembahan yang terbaik di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

 

Dalam pertemuan pertama, Kedah dijadualkan bertemu dengan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dengan membariskan beberapa pemain berpengalaman seperti Baddrol Bahtiar, Farhan Roslan serta pemain import Liridon Krasniqi.

 

Selain itu, pasukan Kelantan yang menggunakan nama baru, Pamoga Qu Puteh The Red Warrior pastinya tidak ingin ketinggalan dalam memberikan kelainan ketika persembahan mereka menentang pasukan Perak pada malam ini.

 

Pasukan Kelantan yang mula menjadi perhatian umum sebelum ini setelah menerima tajaan daripada pengusaha produk kecantikan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dilihat bakal melalui ujian pertama di Stadium Perak bagi membuktikan kemampuan mereka pada musim baru ini.

 

Di Stadium Hang Jebat Melaka, Sarawak di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal dijadualkan akan bertemu dengan pasukan Polis Diraja Malaysia(PDRM).

 

Skuad Bujang Senang dijangka akan memberikan saingan yang sengit dalam perlawanan tersebut bagi memastikan mereka membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.