Gagal Bayar Ganti Rugi Kes Fitnah, Mat Sabu Berdepan Tuntutan Muflis

PULAU PINANG – Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berdepan dengan tuntutan muflis selepas gagal melunaskan ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan berhubung isu ‘Projek IC’ di Sabah.

 

Peguam Wan Ahmad, Noor Hazira Abu Haiyan seperti dilaporkan media berkata, pihaknya memfailkan petisyen pemiutang terhadap Mat Sabu di Mahkamah Tinggi di sini semalam, untuk mendapatkan semula ganti rugi itu beserta faedah.

 

Menurut beliau, mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan kes tersebut.

 

“Notis kebankrapan telah pun diberikan kepada Mat Sabu pada 3 Februari lalu, tetapi pemimpin pembangkang itu tidak mematuhinya,” katanya.

 

Pada 20 Mac 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mat Sabu yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden Pas dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Wan Ahmad kerana kesalahan memfitnah.

 

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong ketika membenarkan saman Wan Ahmad, memutuskan plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Mat Sabu dan Mustafa selaku defendan.

 

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Wan Ahmad.

 

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wan Ahmad terhadap pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sd. Bhd.; Ketua Pengarang akhbar itu, Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel, Aziz Muda.

 

Terdahulu pada 5 Mac 2013, Wan Ahmad memfailkan saman dengan mendakwa Mat Sabu mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk Wan Ahmad Tidak Boleh Dipercayai dan Ragu Peranan SPR – Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan dalam Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas ditemu ramah pada 29 Januari 2013.

 

Dalam penyataan tuntutannya, Wan Ahmad mendakwa defendan mengeluarkan perkataan fitnah bahawa beliau tidak boleh dipercayai kononnya kerana terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam ‘Projek IC’ di Sabah. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.