Bashah perlu kembalikan sokongan golongan muda

SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mempunyai tugas berat bagi mengembalikan semula sokongan akar umbi khususnya melibatkan golongan muda di negeri ini, kata Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed.

 

Menurutnya, pelantikan Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri tersebut sememangnya amat wajar memandangkan beliau kini memegang jawatan Menteri Besar namun terdapat tugas berat yang menantinya disebalik pelantikan itu.

 

“Beliau perlu memikirkan strategi bagaimana mahu mendekati golongan ini agar mereka kembali menyokong Umno selepas krisis yang berlaku melibatkan pimpinan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

 

Disamping mengambil kira golongan muda di negeri ini, Bashah juga perlu memberikan perhatian kepada kepimpinan di peringkat cawangan agar setiap pihak dapat merasakan suara dan sumbangan mereka masih dihargai dalam Umno.

 

Ujarnya, apa yang lebih penting adalah beliau(Bashah) perlu lebih kerap turun padang bagi mendengar masalah-masalah rakyat bawahan yang sentiasa kuat menyokong Umno sebelum ini.

 

“ Keprihatinan kepada kumpulan ini amat penting terutama ketika taraf hidup yang semakin meningkat serta kejatuhan harga getah dan kelapa sawit bagi mereka yang bergantung hidup kepada komoditi ini, seperti masyarakat di Sik, Baling, Padang Terap dan bandar baru yang rata-ratanya masih berada dalam kemiskinan,”katanya.

 

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa Bashah telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

Selain Ahmad Bashah, Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, iaitu jawatan yang disandang oleh Ahmad Bashah sebelum ini. -sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.