23,500 tiket JDT-Selangor habis terjual dalam tempoh 3 jam

JOHOR BAHRU – Sebanyak 23,500 keping tiket untuk menyaksikan perlawanan sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini habis terjual dalam masa kira-kira tiga jam.

 

Tiket perlawanan tersebut bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila peminat fanatik pasukan Harimau Selatan sanggup berkampung di stadium sejak petang malam bagi memastikan tidak terlepas peluang aksi malam ini.

 

Namun, kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, ratusan penyokong JDT yang masih berada di pekarangan stadium kecewa kerana gagal mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut walaupun sudah menunggu dari pukul 6 pagi.

 

Ramai juga yang melontarkan komen melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana gagal mendapat tiket perlawanan berkenaan dalam ruangan komen Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

 

Menurut sumber Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), tiket mula dijual mulai pukul 9 pagi dan dalam tempoh sejam sahaja, sebanyak 8,000 tiket sudah terjual.

 

“Sebanyak 23,500 keping tiket termasuk 200 keping yang diperuntukkan kepada penyokong Selangor habis terjual kira-kira pukul 12 tengah hari,” katanya.

 

Stadium Tan Sri Hassan Yunos mampu menampung kira-kira 30,000 penonton. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.