Video: Tidak Tahan Dipukul, Budak Lelaki Laung Kalimah Syahadah

Video seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dikasari seorang pengawal keselamatan di Malmo, mula tersebar dan mengundang kemarahan komuniti internet di seluruh dunia.

 

Ia bukan saja kekasaran melampau terhadap seorang budak lelaki yang lemah tetapi umat Islam melihatnya sebagai penganiayaan kerana kanak-kanak itu beragama Islam dan melaung syahadah sambil mengangkat jari telunjuk kanan kerana sangat ketakutan selepas kepalanya dihentam ke lantai dan lelaki dewasa itu duduk di atas dadanya.

 

 

Video sepanjang 54 saat yang dimuat naik di YouTube pada 6 Febuari lalu itu ditonton sebanyak 27,334 kali, manakala di laman www.doamuslims.org, ia ditonton lebih 1.5 juta kali.

 

Menurut laporan doamuslims, kejadian berlaku pada Jumaat lalu apabila dua budak lelaki itu dipercayai beragama Islam ditahan oleh pengawal keselamatan di stesen utama di Malmo. Mereka didakwa menaiki kereta api tanpa tiket.

 

Kejadian bermula apabila mereka hanya disoal siasat tetapi menjadi buruk apabila seorang daripada pengawal keselamatan menarik kanak-kanak  yang lebih muda itu.

 

Budak lelaki yang dilahirkan pada tahun 2005, menurut laporan polis, cuba melarikan diri tetapi pengawal keselamatan bertindak dengan melemparkannya ke lantai lalu duduk di atas badan budak itu.

 

Menurut saksi, pengawal keselamatan itu kemudian menolak kepala kanak-kanak itu ke lantai dengan begitu kuat sekali sehingga bunyinya bergema di seluruh tempat menunggu. Pada waktu itulah saksi dan rakannya terus ke lokasi lalu mula mengambil video kejadian berkenaan.

 

Rakaman video menunjukkan pengawal keselamatan duduk di dada kanak-kanak itu sambil menekan tangannya yang bersarung, ke mulut dan muka budak itu.

 

Budak itu mengalami kesukaran bernafas. Dengan suara tersekat-sekat dia menjerit mengucap syahadah: “Aku bersaksi tiada tuhan kecuali Allah dan aku bersaksi Muhammad itu rasul Allah.”

 

Siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.