Puluhan Ribu Hadir Beri Penghormatan Pada Nik Aziz

Kota Bahru – Puluhan ribu rakyat memberikan penghormatan terakhir kepada bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan hari ini.

 

Solat jenazah untuk mursyidul Am PAS itu akan diadakan tepat jam 10 pagi dan hanya akan diadakan sekali sahaja.

 

Jenazah beliau kemudiannya akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka dan diusung oleh ahli keluarganya.

 

jenazah nik aziz 1

 

Antara pemimpin yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir sekaligus menunaikan solat jenazah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabnagsa Subang pagi ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan lain.

 

Ketika semua pihak memandang wajah allahyarham buat kali terakhir secara bergilir-gilir, surah Al-Fatihah dibacakan tanpa henti.

 

Turut menziarahi jenazah Nik Aziz adalah Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd. Wahid.

 

Sumber SuaraTV ketika dihubungi berkata keadaan di sekitar kawasan tersebut terlalu sesak dan padat sehingga ada yang pengsan.

 

“Rupanya musibah banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini, adalah tanda bumi Kelantan bakal dibasahi dengan air mata kerana kehilangan seorang Murabi.

 

“Laungan takbir, dan esak tangis mereka yang hadir benar-benar meruntun jiwa dan sanubari” katanya sebentar tadi.

 

Bagi Normadiah Abdul Rahman, 59, beliau sedih dan terharu melihat puluhan ribu yang menunaikan solat jenazah itu.

 

Sambil menangis, dia yang tinggal di Kampung Senang, Pulau Melaka berkata, jasa Nik Aziz akan sentiasa diingati, memandangkan mursyidul am PAS itu menyerahkan seluruh kehidupannya untuk Islam.

 

“Saya tak pernah lihat ramai sangat solat begini. Saya takut tak ada yang boleh ganti dia. Hidup dia untuk Islam,” katanya sambil mengesat air mata.

 

Bagi mereka yang tidak menggunakan kenderaan yang disediakan itu atau menggunakan kenderaan sendiri juga terpaksa meletakkan kenderaan dalam jarak kira-kira lima kilometer daripada kediaman Nik Aziz.

 

Kerajaan Negeri Kelantan turut menyediakan kemudahan kenderaan khas untuk digunakan oleh orang ramai yang ingin menziarahi jenazah Allahyarham, di Pulau Melaka.

Difahamkan sebanyak 10 buah kenderaan jenis MPV yang ditampalkan pelekat ‘Pulau Melaka’ untuk tujuan itu.

 

Nik Aziz menghembuskan nafas terakhir di kediamannya kira-kira jam 9.45 malam tadi setelah dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

 

Allahyarham Nik Aziz dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

 

Allahyarham telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak.

 

Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.

 

 

BERITA LAIN MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.