Pukul Isteri Dengan Topi Keledar

KOTA BHARU – Seorang bapa dua anak mengaku tidak salah di mahkamah sesyen, di sini, semalam atas tuduhan memukul isterinya dengan topi keledar.

 

Azmi Ismail, 35, dituduh memukul Nur Wahida Ismail, 24, di sebuah rumah di Chicha Menyabong, Sering, di sini, antara jam 5.30 dan 6.30 petang, 25 Januari lalu.

 

Susulan penafian itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari memohon tarikh dan tidak menawarkan jaminan, namun tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad Zubairi Salleh, memohon jaminan dengan alasan tertuduh perlu menjaga kedua-dua anaknya yang berusia tujuh dan lima tahun.

 

“Ada laporan polis dibuat terhadap isteri tertuduh iaitu ibu kanak-kanak terbabit yang didakwa mendera anak mereka.

 

“Kanak-kanak ini sudah diperiksa oleh pihak hospital dan sepatutnya diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun ibu mereka terlebih dahulu mengambil mereka dan dibawa entah ke mana, tidak diketahui,” katanya.

 

Permohonan secara lisan itu kemudian dibantah keras Asmah dengan alasan kesemua dakwaan belum ada kesahihan lebih-lebih lagi aduan ke atas kedua-dua tertuduh dibuat pihak lain iaitu ibu masing-masing.

 

Selepas pertimbangan maksimum, Hakim, Mohd Yusoff Yunus tidak membenarkan tertuduh dijamin dan mengarahkan permohonan secara bertulis dibuat tertuduh. Kes ditetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.