Polis Tahan 4 Anggota Geng Pecah Rumah ‘Dani Lombok’

SEREMBAN: Polis berjaya menahan empat anggota kumpulan ‘Dani Lombok’ yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan samun di Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

 

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Datuk Jaafar Mohd Yusof, berkata kesemua suspek berumur antara 19 hingga 55 tahun itu ditahan di dua lokasi pada 2 dan 3 Februari lepas hasil maklumat awam.

 

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berasal dari Seremban yang merupakan pemandu bagi kumpulan itu untuk bergerak ke lokasi sasaran dan dua warga Indonesia di dalam sebuah teksi di Jelebu pada 1.40 tengah hari.

 

Susulan soal siasat terhadap tiga suspek, polis menahan seorang lagi warga Indonesia di Johor keesokan harinya, katanya.

 

“Kami berjaya menahan mereka ketika mereka dipercayai dalam perjalanan ke lokasi untuk melakukan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

 

Katanya polis merampas wang tunai berjumlah RM4,022, dua telefon bimbit, sebuah motosikal, satu gelang tangan emas, 47 cincin pelbagai warna, satu laptop, satu jam tangan dan satu kad kredit daripada kesemua suspek.

 

Jaafar berkata dengan tangkapan itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan samun iaitu satu kes di Pahang, dua kes di Johor dan lima kes di Negeri Sembilan.

 

“Berdasarkan siasatan, kumpulan ini aktif bergerak sejak Julai tahun lepas,” katanya. – BERNAMA / BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.