PKR Pertaruhkan Nuha Hanya Kerana Ingin Dapat Simpati – Mas Ermieyati

Kuala Lumpur – Khabar angin anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha bakal menggantikan kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh membuktikan parti itu cuba mengumpan simpati pengundi di kawasan berkenaan.

 

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, situasi itu juga sudah boleh dijangka pelbagai pihak selepas Anwar dijatuhi hukuman penjara kerana kesalahan liwat.

 

“Semua sudah boleh dijangka. Dari suami, isteri kemudian ke anak-anak semuanya akan mewarisi Permatang Pauh dan PKR sendiri.

 

“Kita tidak mahu mempersoalkan tentang umur atau gender namun apa yang pasti, kerusi itu bukan milik keluarga Anwar Ibrahim,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Desas-desus Nurul Nuha menggantikan kerusi Anwar semakin hangat selepas beberapa penganalisis politik menjangkakan situasi itu berlaku di beberapa portal dan blog.

 

Ia turut dilihat benar selepas, Nurul Nuha, 31,  seorang suri rumah berkelulusan Ijazah Teknologi Seni dan Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat, diberikan ‘tugasan awal’ dalam kempen ‘March for Freedom’ demi perjuangan Anwar yang didakwa menjadi mangsa ketidakadilan.

“Ketahuilah PKR mempertaruhkan Nuha hanya kerana ingin dapat simpati pengundi ”- Mas Ermieyati

 

Dalam pada itu kata Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, PKR dengan sendiri akan terbukti menjadi parti pengamal kronisme dan nepotisme ataupun boleh juga dikenali sebagai politik suku sakat seandainya sah Nurul Nuha menggantikan kerusi Anwar.

 

“Ini buktikan apa yg dikatakan terhadap PKR sebelum ini adalah nyata benar.

 

“Harapan saya agar pengundi Permatang Pauh dapat membuat pilihan yang bijak.

 

“Ketahuilah PKR mempertaruhkan Nuha hanya kerana ingin dapat simpati pengundi,” ujarnya.

 

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Anwar mengalahkan calon UMNO, Mazlan Ismail dan calon Bebas, Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti 11,721 undi.

 

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

 

Keputusan itu sekali gus melucutkan kelayakan Anwar sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 2008 berikutan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000. –  mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.