Video: Perutusan khas PM Mengenai Allahyarham Datuk Nik Aziz

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini merakamkan kesedihan beliau berhubung kehilangan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam satu perutusan khas di laman blog beliau NajibRazak.com.

 

Kata Najib, Malaysia hari ini telah kehilangan seorang pemimpin Islam yang sangat dihormati.

 

“Walaupun kami berbeza pendapat dan pandangan dalam beberapa perkara, kita mempunyai impian yang sama, yakni untuk memartabatkan Islam di Negara Malaysia ini,” kata Najib dalam perutusan khasnya itu.

 

 

Berikut adalah transkrip penuh perutusan khas Perdana Menteri berhubung kembalinya Allahyarham Nik Aziz ke rahmatullah.

 

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

 

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

 

Saya berasa amat sedih di atas kehilangan Allahyarham Datuk Nik Aziz, Mursyidul Am PAS. Hari ini, Malaysia telah kehilangan seorang pemimpin Islam yang sangat dihormati.

 

Walaupun kami berbeza pendapat dan pandangan dalam beberapa perkara, kita mempunyai impian yang sama, yakni untuk memartabatkan Islam di Negara Malaysia ini.

 

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran Surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang Islam itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (jika mereka berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

 

Kita semua akan merindui beliau dan saya ingin mengucapkan takziah buat ahli keluarga yang tersayang. Semoga roh Datuk Nik Aziz dicucuri rahmat dan disemadikan di kalangan para Syuhada.

 

Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia yang beragama Islam menyedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

 

Sekian,

 

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.