Perlu Bincang Isu Siapa Ganti Anwar – Khalid Samad

SHAH ALAM – Jawatan ketua pembangkang yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibincangkan terlebih dahulu dan dipersetujui semua pihak dalam Pakatan Rakyat (PR).

 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata,  jawatan itu tidak akan memberi kuasa mutlak kepada seseorang pemimpin untuk membuat perubahan terhadap dasar sesebuah parti.

 

“Apa yang penting PR bukan milik Pas, PKR atau DAP. Maka siapa yang hendak dijadikan sebagai ketua pembangkang mesti dibincangkan dan dipersetujui semua. Bagi saya, siapa yang dipersetujui, kita sokong kerana PR gabungan tiga parti.

 

“Siapa dipilih secara asasnya dijadikan simbol dan sebagai penyelaras kepada PR dan bukan seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang boleh merubah atau menidakkan (dasar) parti masing-masing,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini semalam.

 

Beliau turut melahirkan keyakinannya Anwar tidak mungkin akan memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

 

“Jika Anwar berbuat demikian, ia seperti membuktikan bahawa ketua pembangkang itu bersalah di atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

 

“Saya tak tahu maklumatnya tetapi saya yakin Anwar tidak akan membuat permohonan (pengampunan) kerana ia membawa pengertian seperti dia bersalah,” katanya.

 

Sementara itu, mengenai calon PRK Permatang Pauh katanya, ia akan ditentukan PKR kerana kawasan berkenaan milik parti itu.

 

Malah beliau menyarankan ketiga-tiga parti dalam PR perlu turun pada untuk memenangkan calon bagi mengekalkan momentum ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.