Penurunan Tarif Elektrik Disambut Baik

MELAKA 12 Feb. – Penurunan tarif elektrik sebanyak 2.25 sen per kilowatt-jam (kwj) yang akan berkuat kuasa 1 Mac ini disambut baik oleh orang ramai.

 

Seorang warga emas, Mohd. Ali Abdullah, 69, berkata, penurunan tarif tersebut memberi penjimatan bagi golongan berpendapatan rendah sepertinya.

 

“Walaupun dua anak tinggal bersama, saya yang membayar bil elektrik dan air untuk membantu beban kewangan anak-anak saya.

 

“Penurunan ini dapat memberikan kelegaan kepada saya yang bekerja dengan gaji RM800 sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Penurunan harga yang akan ber­kuat kuasa mulai 1 Mac sehingga 30 Jun ini adalah selaras de­ngan penjimatan semakan se­mula kos bahan api dan kos penjanaan (ICPT).

 

Seorang peniaga, Sharifah Nazrin Syed Mahazir pula berkata, penurunan kadar tarif tersebut membantu golongan peniaga sepertinya menjimatkan jumlah bayaran elektrik bulanan.

 

“Walaupun bil elektrik yang saya perlu bayar setiap bulan rendah namun berita ini saya sambut baik kerana menguntungkan orang ramai,” katanya.

 

Dalam pada itu, seorang pesara, V. Jalagopal, 66, berkata, berita baik tersebut menyenangkan hatinya kerana beban kewangan bagi membayar bil elektrik bulanan dapat dijimatkan.

 

“Duit lebihan yang diasingkan untuk membayar bil elektrik setiap bulan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan lain selepas ini.

 

“Selalunya bil elektrik yang saya terima mesti RM70 ke atas, harap selepas ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan saya dan keluarga,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.