Pengguna Media Sosial Kecam Sebar Gambar Jenazah Nik Aziz

Kuala Lumpur: Ghairah mahu berkongsi perkembangan terkini mungkin menjadi punca pihak-pihak tertentu sewenang-wenangnya memuat naik gambar jenazah yang menampakkan wajah Allahyarham Nik Aziz yang dirakamkan untuk disiarkan dalam akaun sosial, blog dan portal masing-masing.

 

Ramai pengguna sosial yang mengecam perbuatan tersebut kerana ia dianggap tidak menghormati permintaan ahli keluarga terdekat termasuk anaknya Nik Abduh yang sebelum ini telah memohon jasa baik orang ramai dan pihak media agar tidak menyebarkan gambar-gambar sedemikian.

 

Terdahulu berlaku sedikit kekecohan di Masjid Tok Guru apabila ramai hadirin yang menjerit-jerit melarang mereka yang membuat rakaman foto dan video jenazah Allahyarham Nik Aziz memaksa pengacara campur tangan meminta pihak terbabit menghentikannya bagi menghormati permintaan ahli keluarga.

 

Beberapa kiriman email dari pengguna media sosial yang diterima Suara.TV turut mengecam individu yang merakam dan menyebarkan gambar jenazah Alahyarham Nik Aziz.

 

“Saya harap suaratv minta semua orang henti kongsi gambar muka jenazah tok guru. Biar kita ada rasa simpati jaga hati dan perasaan keluarga tok guru sama,” kata seorang pengirim yang memperkenalkan dirinya dengan panggilan Ain.

 

Satu mesej yang sedang viral disebarkan melalui pesanan applikasi Whatsapp pula berbunyi, “minta maaf. td dengar berita kat astro awani keluarga TGNA mohon jasa baik rakyat Malaysia agar tidak menyebarkan gambar arwah di public”.

 

Dalam pada itu di sebalik keghairahan sedemikian, ada satu gambar jenazah Allahyarham Ustaz Yahya Othman yang disangkakan adalah Allahyarham Nik Aziz turut dimuat naik dan menjadi viral.

 

IMG-20150213-WA0023

Allahyarham Ustaz Yahya Othman yang menjadi viral selepas disangkakan adalah Allahyarham Nik Aziz.

 

Sepintas lalu memang kedua-duanya kelihatan seakan sama, mungkin dalam keadaan dibaluti kain kapan putih yang hanya menampakkan muka menyebabkan ramai yang terkeliru.

 

Sekadar maklumat Allahyarham Ustaz Yahya Othman merupakan pemimpin PAS dari Machang, bekas EXCO Kelantan dan pernah menjawat kedudukan sebagai Setiausaha Majlis Syuara Ulama PAS.

 

Allahyarham meninggal dunia pada 14 Jun 2012 ketika berusia 76 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.