Negara Kehilangan Pemimpin Dan Ilmuwan Islam Dengan Pemergian Nik Aziz

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara telah kehilangan seorang pemimpin dan ilmuwan Islam yang telah banyak berjasa dengan pemergian ke rahmatullah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

 

Dalam status terbaru di laman Facebooknya, Perdana Menteri juga melahirkan rasa sedihnya atas pemergian bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS itu.

 

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya amat sedih mendengar berita kepulangan Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat ke rahmatullah,” katanya.

 

Najib berkata walaupun beliau dan Allahyarham berbeza pendapat dan pandangan, mereka berkongsi impian untuk Malaysia kekal sebuah negara Islam yang aman dan makmur.

 

“Saya doakan semoga roh Allahyarham Nik Aziz dikurniakan husnul khotimah dan ditempatkan bersama para syuhada di Syurga Al-Jannah. Al-Fatihah,” kata beliau.

 

Terdahulu dalam satu majlis di ibu negara, Najib yang sedang menyampaikan ucapannya turut memberhentikan ucapannya seketika untuk menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham setelah dimaklumkan dengan berita sedih itu oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Najib yang berucap pada majlis makan malam ulang tahun Yayasan Pendidikan Cheras turut memberitahu hadirin berkenaan berita tersebut dan mengajak mereka menyedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham, sebelum menyambung semula ucapannya.

 

Nik Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan pada pukul 9.40 malam ini, kira-kira sejam selepas pulang daripada Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Krian. Allahyarham dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat.

 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laman twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dengan catatan “saya dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Aziz.

 

“Moga roh beliau ditempatkan bersama-sama hamba2Nya yang soleh,” kata Muhyiddin. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.