Melayu Menumpang 
Di Negara Sendiri?

Pada penghujung tahun 2014, saya dan suami menyambut hari ulang tahun perkahwinan kami dengan makan malam di salah sebuah restoran fine dining di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

 

Untuk memastikan kami mendapat meja khas, saya telah membuat tempahan terlebih dahulu.

 

Harapan saya supaya kami mendapat meja yang terbaik lokasinya dan makan malam ini akan menjadi kenangan manis bagi kami.

 

Dengan penuh harapan, kami pergi ke restoran tersebut pada waktu yang ditempah. Sesampai kami di sana, saya maklumkan kepada pelayan yang menyambut bahawa saya ada membuat tempahan.

 

Alangkah kecewanya saya apabila pelayan tersebut menempatkan kami di meja yang ditempatkan di luar restoran dekat dengan tangga.

 

Saya jangka ini adalah salah satu meja tambahan yang diletakkan di koridor di luar restoran untuk menampung pelanggan pada sambutan hari Krismas.

 

Pelayan itu tidak pun bertanyakan nama saya bagi memastikan saya telah membuat tempahan.

 

Ada pasangan ‘Orang Putih’ yang datang kemudian dan terus dibawa masuk ke dalam. Saya tidak puas hati dan memberitahu pelayan itu yang saya pernah datang ke restoran tersebut dan duduk di meja di sebelah dalam restoran yang mempunyai suasana yang selesa dan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur.

 

Dia meninggalkan kami selepas mengatakan dia akan tengok sama ada terdapat meja kosong di dalam.

 

Selepas beberapa minit, seorang pelayan lain datang untuk menjemput kami masuk ke dalam.

 

Rupa-rupanya ada meja kosong di dalam. Walaupun kami tidak dapat duduk dekat tingkap, kami berasa lebih selesa dan baru merasa berada dalam restoran eksklusif.

 

Apabila saya perhati sekeliling, saya dapati semua pelanggan yang duduk di dalam restoran adalah mereka yang berbangsa Cina atau Orang Putih.

 

Orang Melayu yang kelihatan hanya pelayan.Makan malam yang sepatutnya menyeronokkan menjadi kekecewaan walaupun makanannya enak.

 

Saya tertanya-tanya sama ada kami ditempatkan di luar kerana kami orang Melayu?

 

Kebetulan pula, semasa duduk di luar, ada pasangan Melayu di meja sebelah.

 

Oh ya, pelayan yang menyambut kami juga bukan berbangsa Melayu dan yang menjemput kami masuk kemudiannya adalah orang Melayu.

 

Di Malaysia, kaum Melayu adalah majoriti dan dianggap sebagai warganegara kelas pertama (first class citizens).

 

Di hotel mewah lima bintang, tidak ramai orang Melayu yang menjadi pelanggan. Yang ada ialah mereka yang menghadiri seminar atau mesyuarat di mana kos makanan dibiayai oleh penganjur.

 

Tidak ramai yang datang menggunakan penginapan dan kemudahan hotel termasuk restoran. Yang ramai adalah bangsa asing dan warga asing.

 

Dari pemerhatian ini, siapa sebenarnya first class citizen?

 

Walaupun kami mampu untuk membayar bil di restoran tersebut, kami didiskriminasikan.

 

Berdasarkan apa yang berlaku kepada saya, saya menganggap orang Melayu seolah-olah menumpang di negara mereka sendiri. Kita perlu bersatu untuk memastikan nasib kaum Melayu tidak menjadi lebih buruk lagi.

 

Pemimpin Melayu yang asyik berbalah untuk merebut kuasa politik perlu sedar kuasa ekonomi negara berada dalam tangan kaum lain.

 

Kalau Melayu hilang kuasa politik, siapa yang akan membela nasib orang Melayu di negara kita sendiri?

 

MAIMON TM
Kuala Lumpur

 

* Artikel di petik dari Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.