Ketiadaan Nik Aziz, Anwar Tak Jejas Kekuatan Pakatan – Nik Nazmi

Kehilangan dua pemimpin utama, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjejaskan kekuatan Pakatan Rakyat (PR), kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

 

Ketua Pemuda PKR itu berkata, walaupun kehilangan itu merupakan cabaran besar, tetapi PR masih mempunyai ramai pemimpin pelapis muda yang boleh membawa gabungan tiga parti itu jauh ke hadapan.

 

“Saya tak melihat ini satu masalah besar. Kita banyak pemimpin pelapis yang dah lama bekerja dalam parti dan kerajaan bersama-sama.

 

“Jadi saya tak melihat ada kesan negatif kepada Pakatan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran sambutan 20 tahun Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di Bangi, hari ini.
Exco Selangor itu berkata, Anwar sehingga kini masih diiktiraf sebagai Ketua Umum PKR dan tiada perbincangan untuk menggantikannya dengan pemimpin lain.

 

“Semalam Menteri Besar ada umumkan Anwar masih penasihat ekonomi (Selangor), jadi (jawatan) Ketua Umum pun tak berubah kalau ikut logik yang sama,” katanya.

 

Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan meninggal dunia pada umur 84 pada jam 9.45 malam tadi di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas sekian lama mengidap barah prostat.

 

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada kelmarin mengesahkan khidmat Anwar sebagai Penasihat Ekonomi negeri masih diperlukan walaupun sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh.

 

“Mengapa tidak? Beliau boleh sampaikan mesej melalui peguam atau keluarga,” katanya.

 

Ditanya mengenai sambutan himpunan solidariti dihadapan Penjara Sungai Buloh yang kurang memberangsangkan sejak Rabu, Nik Nazmi berkata suasana sudah berubah jika dibandingkan dengan tahun 1998 ketika Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat I.

 

Katanya, jumlah kehadiran penyokong tidak lagi dijadikan ukuran memandangkan perkembangan teknologi yang membolehkan masyarakat mengikuti perjalanan kes Anwar dari jauh.

 

“Suasana berbeza, sekarang orang dah tak marah dan tidak terkejut, yang menyedihkan ia jadi perkara biasa dalam senario politik negara,” katanya.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu berkata, sokongan masih sama dan menganggap jumlah kehadiran penyokong adalah menggalakkan.

 

Katanya, program flashmob #KitaLawan #BebasAnwar yang sepatutnya diadakan selepas solat Jumaat ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian bagi menghormati pemergian Nik Aziz. – MInsider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.